Zahid tidak pernah berunding dengan DAP, kata pemimpin BN


SM Amin

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dikatakan tidak pernah menyuarakan sebarang hasrat atau membenarkan sebarang usaha untuk bergabung dengan DAP.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2018

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah mengadakan sebarang rundingan politik dengan DAP bagi membentuk kerajaan baharu, kata Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional, Ahmad Masrizal Muhammad.

Masrizal berkata spekulasi kerjasama itu yang sedang berlegar di media sosial berpunca daripada siri pertemuan Setiausaha Agung BN, Nazri Aziz dengan ahli jawatankuasa bahagian Umno yang diadakan secara tertutup baru-baru ini.

Katanya, pertemuan tertutup itu telah dieksploitasi oleh pihak berkepentingan sehingga menimbulkan pelbagai tafsiran dan polemik politik yang songsang.

“Zahid Hamidi tidak pernah menyuarakan sebarang hasrat atau membenarkan sebarang usaha untuk bergabung dengan DAP di mana-mana pentas mahu pun media.

“Jauh sekali untuk beliau mengadakan sebarang rundingan politik dengan parti DAP,” kata Masrizal dalam satu kenyataan hari ini.

Nazri dilaporkan sedang mengadakan jelajah bertemu dengan pimpinan Umno di peringkat bahagian bagi mendapatkan sokongan mendukung Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-8.

Maklumat ini didedahkan kepada The Malaysian Insight oleh lima sumber yang hadir dalam pertemuan tertutup bersama Nazri sejak minggu lalu.

Dalam pertemuan itu, Nazri yang mendakwa mendapat mandat daripada Zahid menerangkan strategi Umno menyokong Anwar dan membentuk kerajaan baharu bersama PKR dan DAP.

Menurut Masrizal, mustahil bagi Zahid untuk bertindak begitu kerana Umno bukan macam Bersatu yang sanggup bekerjasama dengan DAP disebabkan ideologi kedua-dua parti jauh berbeza.

“Jadi, apakah tidak terfikir oleh semua bahawa Zahid itu bukanlah seorang yang mentah dalam politik? Beliau sudah begitu lama dalam politik dan amat tahu sepak terajangnya.

“Beliau juga adalah seorang yang cukup kental jiwa Melayu-Islamnya. Sesungguhnya, ia adalah satu lemparan tuduhan yang sungguh berat dan satu tohmahan politik yang cukup keterlaluan,” tambahnya.

Masrizal menyeru semua pihak dalam Umno supaya memberi Zahid ruang dan bersama dengan beliau untuk menyusun semula parti sehingga mandatnya sebagai presiden tamat pada 2021. – 13 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen