Itu gambar lama, kata Mohamad Hasan


Nabihah Hamid

Mohamad memberitahu The Malaysian Insight, gambar itu diambil sekitar September lalu ketika beliau dan beberapa ahli Parlimen Umno berjumpa Dr Mahathir untuk menghalang tindakan mengharamkan parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2018.

GAMBAR pemimpin Umno bertemu dengan Dr Mahathir Mohamad yang tular di media sosial adalah gambar lama dan tiada kaitan dengan desas-desus lebih ramai wakil rakyatnya akan keluar parti itu, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Mohamad memberitahu The Malaysian Insight, gambar itu diambil sekitar September lalu ketika beliau dan beberapa ahli Parlimen Umno berjumpa Dr Mahathir untuk menghalang tindakan mengharamkan parti itu. 

“Gambar itu tiada kaitan dengan insiden Umno Sabah keluar parti beramai-ramai semalam. 

“Itu adalah gambar lama, awal September kalau tidak silap. Kami jumpa minta Tun Mahathir supaya jangan bubarkan Umno. Sebelum ini kan ada dengar kata ada usaha hendak bubarkan Umno,” katanya.

Beliau juga menegaskan tidak akan keluar Umno yang kini hanya tinggal 43 kerusi Parlimen selepas 11 ahli Parlimen mengumumka keluar parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14. 

“Saya takkan keluar Umno. Ia (perjumpaan) juga bukan bincang siapa mahu keluar Umno,” katanya.

Selepas kecoh dengan pengumuman Umno Sabah keluar parti beramai-ramai semalam, sejak pagi ini tersebar beberapa gambar di media sosial menunjukkan Mohamad dan beberapa ahli parlimen Umno yang bersama Dr Mahathir.

Gambar menunjukkan Mohamad atau lebih mesra dipanggil Tok Mat bersama Noh Omar, Tengku Adnan Tengku Mansor, Hamzah Zainuddin dan Shahidan Kassim makan malam bersama perdana menteri. 

Ia menimbulkan persoalan dan persepsi netizen apakah kemungkinan mereka merupakan calon seterusnya yang mengikut jejak langkah wakil rakyat Umno Sabah.

Cakap-cakap mengenai Umno akan dibubarkan timbul selepas Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga memberi amaran kepada ahli supaya bersiap sedia kemungkinan akaun parti akan dibekukan dan pemimpinnya akan disiasat kerana rasuah.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu A. Kadir Jasin berkata gambar tersebut diambil pada 22 Oktober dan perjumpaan dengan Dr Mahathir itu ialah untuk meminta “talian hayat”.

“Perdana menteri yang dulu mereka maki dan caci jamu mereka makan malam. Kalau zaman raja-raja dulu kala boleh jadi dah mati kena racun.

“Mesti ada di kalangan mereka yang berharap pertemuan dengan Tun Dr Mahathir itu boleh memberikan mereka talian hayat,” kata Kadir di Facebook hari ini.

“Tetapi mereka silap besar. Pada 15 November Adnan Mansor dituduh di mahkamah kerana rasuah.

“Jumpa PM perkara biasa. Keluar masuk parti pun perkara biasa juga. Tetapi jenayah tetap jenayah.” – 13 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen