Zahid masih yakin Umno tak tergugat di Sabah


SM Amin

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata siuasi berkenaan sudah dijangka.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2018

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi masih yakin parti itu tidak tergugat di Sabah walaupun pemimpin parti dan wakil rakyatnya di negeri itu mengisytiharkan keluar parti beramai-ramai hari ini.

Situasi berkenaan sudahpun dijangka dan tidak menjejaskan parti yang menurutnya banyak berjasa kepada rakyat negeri itu, katanya.

“Kita lihat situasi yang berlaku di Sabah sekarang ini merupakan suatu tindakan politik yang telah kami jangkakan dan ini tidak sama sekali melemahkan perjuangan Umno yang telah banyak menabur jasa dengan rakyat Sabah,” katanya.

Katanya parti menjalankan tindakan segera dengan membuat rombakan ke atas badan perhubungan Umno Sabah dan melantik ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin sebagai pengerusi baharu.

“Tindakan segera telah dilakukan bagi menyusun dan merombak badan perhubungan Umno Sabah.

“Bermula esok saf pimpinan Umno Sabah akan dilengkapkan dan kita mahu melihat Umno Sabah berjalan seperti biasa,” katanya.

Zahid bagaimanapun tidak mengulas mengenai rungutan pemimpin Sabah itu yang keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap pemimpin Umno nasional.

Pengerusi perhubungan negeri Hajiji Mohd Noor dalam pengumuman bersama barisan pemimpin dan wakil rakyat Umno Sabah berkata mereka lihat pemimpin parti peringkat nasional tiada hala tuju.

Antara pemimpin yang keluar parti itu adalah orang kuat bekas perdana menteri Najib Razak iaitu Salleh Said Keruak dan Pandikar Amin Mulia.

Empat ahli Parlimen dari Sabah yang keluar parti itu adalah Abd Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Ronald Kiandee (Beluran) dan Zakaria Mohd Edris (Libaran).

Turut keluar parti adaah 11 orang Adun dan 21 ketua bahagian.

Keputusan hari ini mengurangkan jumlah ahli Parlimen Umno kepada 43 orang dan hanya satu wakil tunggal dalam Dun Sabah.

Wakil rakyat berkenaan mengumumkan akan kekal sebagai satu kumpulan dan sedang berunding dengan pembangkang, Gabungan Bersatu Sabah.

Dua ahli Parlimen Umno, Anifah Aman (Kimanis) dan Rozman Isli (Labuan) sudahpun bertindak keluar parti masing-masing pada September dan Oktober lalu.

Anak Musa Aman, Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez sehingga kini masih belum mengangkat sumpah di Dewan Rakyat dan mempunyai masa sehingga 15 Januari untuk berbuat demikian. – 12 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kalau dia seorg keluar, tak akan berlaku org lain keluar. Di sebabkan perjuangan tamak dan kerbersamaan menyamun pas tu mkn sendiri2. Agih2 lar harta hasil samun tu. Hehe duduk la kau seorg.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Raja Shahrulzaman · Ulasan

  • Ngomong opo wak. Waduh udah jatuh di timpa tangga kok ngomong orak opo2

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Rizuan abdul rahman · Ulasan