Pendeposit bimbang simpanan Tabung Haji tak selamat


Nabihah Hamid

Mereka mengancam untuk pindahkan simpanan ke institusi kewangan lain jika tidak dibayar hibah. – Gambar The Malaysian Insightoleh Seth Akmal, 12 Disember, 2018.

PENDEPOSIT Tabung Haji (TH) bimbang duit simpanan mereka tidak lagi selamat apabila mengetahui lembaga itu tidak mampu membayar hibah ekoran hutang yang tinggi berbanding aset.

Golongan penyimpan yang ditemui juga berhasrat untuk mengeluarkan simpanan mereka sekiranya Tabung Haji tidak mengumumkan sebarang hibah tahun depan.

Seorang pendeposit berkata, beliau akan memindahkan simpanannya berjumlah RM200,000 dalam tabung tersebut ke bank jika tidak mendapat keuntungan itu.

Beliau yang mahu dikenali dengan nama Rose berkata, beliau sememangnya menerima banyak dividen sebelum ini yang dibayar oleh Tabung Haji tanpa kegagalan.

“Saya lihat tahun depan sekiranya tiada lebih baik saya alihkan duit saya ke bank. Sekurang-kurang ada 3% dividen untuk pendeposit tetap,” kata Rose, 57, kepada The Malaysian Insight. 

Turut sependapat dengannya Adnan Musa, 59, yang seakan tidak percaya bahawa simpanan umat Islam dalam tabung berkenaan disalah guna.

“Duit saya ada. Dividen boleh sahaja keluarkan sebelum ini. Jadi saya pelik bagaimana Tabung Haji boleh pusing duit. 

“Saya sangat terkejut dan tidak sangka, duit Tabung Haji juga diusik,” kata penjawat awam yang mempunyai hampir RM100,000 dalam akaunnya. 

Seorang bekas pesara kerajaan, Junainah Abdul, 61, pula sangat kecewa apabila mendapat khabar berita mengenai kepincangan yang berlaku dalam Tabung Haji. 

Beliau bimbang sekiranya masalah pengurusan Tabung Haji itu akan menjejaskan peluangnya untuk menunaikan haji.

“Sangat tak sangka benda ini berlaku. Makcik hanya ada berapa belas ribu saja. Sampai sekarang makcik belum dapat buat haji. 

“Ini yang jadi makcik risau sangat,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Laman web rasmi TH menunjukkan seramai 9.2 juta pendeposit menerima hibah sebanyak 4.5 peratus pada 2017. 

Namun menteri agama Mujahid Yusof Rawa pada Isnin mendedahkan lembaga itu melanggar undang-undang kerana membayar hibah walau akaunnya mencatat defisit RM4.1 bilion.

Kerajaan juga mengumumkan TH didapati membayar hibah menggunakan wang daripada akaun simpanan pencarum dan bukannya keuntungan yang diisytiharkan.

Ia berdasarkan semakan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji untuk 2018 yang dilakukan firma PricewaterhouseCoopers (PwC).

Laporan yang dibentangkan di Parlimen menunjukkan dua urusniaga dilakukan TH untuk membayangkan hibah itu diambil daripada keuntungan tahunan mereka.

Urusniaga pertama melibatkan penjualan kepentingan TH dalam Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) untuk memberikan gambaran yang ia meraih untung sebelum saham tersebut dibeli semula.

Pada 2017, TH menjual RM2.551 bilion pelaburan dalam kepentingan di BIMB dan menjana keuntungan RM553 juta yang dimasukkan ke dalam perolehannya.

Pendedahan itu meraih kecaman dari pemimpin parti kerajaan, antaranya Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menyifatkannya sebagai satu rompakan ke atas harta orang Islam.

Ahli majlis tertinggi Bersatu Kadir Jasin pula menyebut, masalah itu berlaku disebabkan kerajaan Barisan Nasional selum ini melantik orang yang tidak amanah untuk mentadbir Tabung Haji.

Bekas pengerusi TH Abdul Azeez Abdul Rahim bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa Mujahid hanya mendedahkan fakta tertentu sahaja.

Dakwanya satu laporan firma Ernst & Young menunjukkan nilai aset tersebut adalah lebih besar dari yang didakwa Mujahid.

Bagi 2016 dan 2017, jumlah nilai aset sebenar bagi setiap tahun adalah lebih tinggi daripada liabiliti, termasuk pembayaran hibah, masing-masing berjumlah RM701 juta dan RM373 juta, dakwanya.

Oleh yang demikian, lembaga tersebut tidak melanggar Akta Tabung Haji 1995, dakwanya. – 12 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen