EXCO Pulau Pinang Phee Boon Poh, yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berkenaan kilang pemprosesan penapisan karbon berkata akan memfailkan saman fitnah terhadap akhbar-akhbar yang melaporkan beliau mempunyai RM2 juta di dalam akaun bank.
Exco DAP selama dua penggal itu menafikan dakwaan itu dan berkata beliau dan keluarga terkejut dan berang apabila membaca “laporan palsu akhbar” mengatakan SPRM membeku akaun peribadinya dan terdapat wang berjumlah RM2 juta didalamnya.
Membacakan kenyataannya di pejabat Ketua Menteri Lim Guan Eng di Komtar, Phee berkata “mendedah atau menyiarkan maklumat seperti itu di akhbar adalah salah, terutamanya apabila ia dibuat tanpa pengetahuan saya dan membaca tentangnya dia akhbar-akhbar yang dikawal Barisan Nasional (BN).”
Beliau berkata akan memfailkan saman terhadap akhbar berbahasa Melayu, Inggeris dan China terbitan Utusan Malaysia, The Star, New Straits Times, Sin Chew Jit Poh dan Guang Ming DAily, termasuk akhbar lain yang melaporkan berita yang sama , kerana “memusnahkan reputasi dan integriti saya, serta merosakkan imej bersih kerajaan Pakatan Harapan”.
Kata Phee, beliau belum menerima sebarang notis daripada SPRM mengenai pembekuan akaunnya.
“Saya baru saja keluar dari hospital selepas mengambil cuti sakit.
“
SPRM mesti berterus-terang dan nyatakan jika terdapat kebocoran dan jika ada, ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya di pejabat yang dipenuhi dengan pemberita.
Hari ini merupakan hari pertama Phee kembali bekerja sejak dibebaskan dari tahanan SPRM Isnin lepas.
Phee ditahan di pejabat SPRM Pulau Pinang pada 11 Ogos bagi membantu siasatan terhadap kilang haram di Sungai Lembu dan ditahan reman selama lima hari bermula 12 Ogos tetapi dibebaskan pada 14 Ogos selepas peguamnya mendakwa tahanan remannya itu tidak sah. Phee bercuti sejak itu.
Beliau berkata akan mengarahkan peguamnya untuk memfailkan notis tuntutan segera bagi melindungi keluarga, membersihkan namanya dan menghalang BN daripada meneruskan “konspirasi jahatnya”.
Katanya, beliau telah mematuhi semua arahan SPRM dan berjanji akan terus memberikan kerjasama.
Phee juga mengulangi yang beliau bebas rasuah dan tidak pernah mengambil sesen pun daripada pemilik kilang haram itu.
“Saya dan keluarga tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam kilang itu malah pemiliknya juga tiada sebarang hubungan dengan saya.
“Saya setia berkhidmat untuk Pulau Pinang sebagai seorang wakil rakyat dan exco yang dilantik. Sebarang surat yang saya tulis dibuat kerana menjalankan tugas saya sebagai exco.
“Saya dan keluarga akan melawan untuk membersihkan nama saya daripada segala pembohongan jahat ini.
Lim Guang Eng yang menyambut Phee di hari pertamanya kembali bekerja berkata Phee tidak akan menerima sebarang soalan tetapi wartawan boleh mengemukakan soalan menerusi peguamnnya, R.S.N Rayer.

Rayer yang juga Adun Seri Delima (DAP) mengesahkan yang Phee tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai pembekuan akaunnya.
Beliau berkata SPRM tidak bertanggungjawab membocorkan maklumat mengenai akaun Phee.
“Ini mendedahkan Phee dan keluarganya dalam risiko yang besar. Sekali pun benar (RM2 juta dalam akaun), pendedahan maklumat seperti itu memebri risiko kepada Phee.”
Phee sedang disiasat kerana didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapat habuan. Beliau menulis dua pucuk surat pada 2015 dan 2016, meminta pihak berkuasa tempatan menangguhkan tindakan penguatkuasaan terhadap kilang haram itu.
Penduduk yang tinggal kira-kira 1 kilometer dari kilang itu mengadu tentang pencemaran udara didakwa berpunca daripada kilang yang telah beroperasi selama bertahun-tahun. – 21 Ogos, 2017.
Komen