Ada bau busuk dari Kg Sungai Lembu sampai ke Putrajaya


Looi Sue-Chern

Lubang busuk kilang haram beroperasi sejak 2002 yang mengeluarkan bau busuk kini menjadi tumpuan di Pulau Pinang.– Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-chern, 17 Ogos, 2017.

TERSOROK dalam sebuah ladang kelapa sawit dekat Jalan Sungai Lembu di sempadan Pulau Pinang dan Kedah, kira-kira satu kilometer dari sebuah kampung Cina, ada sebuah kilang memproses penapis karbon. Inilah kilang yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan pengarah dan pengurusnya, serta seorang ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Terlepas daripada tajuk berita tentang penangkapan exco Phee Boon Poh baru-baru ini dan tempik kerajaan DAP tentang gangguan politik, kita boleh mencium bau politik kampung yang busuknya terhidu jauh ke segenap pelosok negeri, malah sampai ke Putrajaya.

Sehingga ia diserbu oleh pihak berkuasa minggu lalu, kilang haram di ceruk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh itu sudah beroperasi sejak 2002.

Di kilang haram itu, ada beberapa lubang sedalam dua meter yang membakar dua ribu tan habuk kayu setiap bulan bagi menghasilkan karbon yang diaktifkan untuk penapis air.

Semasa The Malaysian Insight datang ke tapak kilang semalam, asap masih mengepul dari lubang-lubang itu. Baranya masih menyala walaupun dua hari sebelumnya bomba datang untuk memadamkannya.

Tidak ada apa-apa yang mengepung atau menapis asap yang berkepul dari lubang terbakar itu. Lubang-lubang itu terlindung di bawah bangsal berbumbung zink tidak berdinding. Jauh ke belakang, ada beberapa lagi bangsal seperti itu tempat menyimpan habuk kayu.

“Tak syak lagi, inilah punca pencemaran. Mereka tak ada apa-apa untuk elak pencemaran terjadi,” kata seorang pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memeriksa lubang-lubang itu petang semalam.

Itulah yang dilakukan oleh jabatan itu setiap hari sejak kilang itu diserbu penguatkuasa dari Putrajaya pada Khamis minggu lalu.

JAS jugak sedang menunggu masa untuk mengeluarkan notis untuk tidak lagi menggunakan lubang-lubang itu kepada pemilik kilang haram berkenaan, sebaik bara yang membakar terpadam, kata pegawai itu yang enggan dikenali. Makan beberapa hari juga untuk bara itu terpadam sepenuhnya.

Pilihan Raya Umum 2008

Sudah lama penduduk di kampung Cina itu mengadu tentang bau asap dan habuk, dan dalam hati mereka terpendam rasa bimbang kalau-kalau suatu hari nanti akan dijangkiti kanser, kata pengerusi JKKK Kampung Sungai Lembu, Tan Sing Lee.

“Mereka menanggung kesannya, bergantung kepada arah mana angin bertiup. Biasanya waktu malam,” katanya, sambil meluahkan kemarahan penduduk kampung.

“Suatu hari, datang seorang lelaki tercegat di pintu rumah saya dengan motosikalnya. Dia tak pakai baju. Dia tanya saya apakah hidung saya ini ada masalah sampai saya tidak boleh cium bau asap.

Pegawai Jabatan Alam Sekitar menguji pencemaran kilang haram itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-chern, 17 Ogos, 2017.

“Oleh sebab saya ini ketua kampung, saya bawa aduan-aduan itu kepada Adun Penanti. Masa itu Mansor Othman,” katanya.

Ini pada 2008, tahun bermulanya aduan tentang bau busuk dari kilang haram itu diangkat kepada pihak atasan. Itulah juga tahunnya Barisan Nasional (BN) kalah kepada pembangkang di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum pada Mac.

Garis masa ini sangat mengelirukan bagi Tan. Katanya, kilang itu sudah ada sejak 15 tahun dulu lagi dan dia tidak tahu kenapa sebelum itu tidak pernah ada orang mengadu apa-apa semasa BN masih jadi kerajaan negeri.

“Orang mula mengadu selepas kerajaan bertukar,” kata lelaki itu.

Tan, 58, jadi pengerusi JKKK selepas pilihan raya umum itu.

Kilang itu asalnya ada di Alma, Bukit Mertajam, selama lebih kurang 30 tahun sehinggalah aduan-aduan rakyat memaksa pemiliknya berpindah tempat.

Menurut Tan, selepas penduduk Sungai Lembu mula merungut pada 2008, tuan punya kilang itu datang berjumpa dengannya untuk membincangkan masalah bau busuk dan habuk. Dia berjanji untuk tidak membuka lubang-lubang baru beberapa tahun lepas, tetapi keadaan tidak juga jadi lebih elok.

Pada 2015, Adun Penanti Dr Norlela Ariffin, wakil rakyat dari PKR, membawa isu itu ke Dewan Undangan Negeri dan meminta penjelasan kerajaan negeri tentang kilang haram itu.

Lebih kurang dua tahun kemudian, pada Mei lepas, kerajaan negeri menjawab bahawa kilang itu sudah diheret ke mahkamah dan dikenakan dengan RM1,000. Pada bulan yang sama, Dr Norlela menerima satu petisyen 18 muka surat yang ditandatangani oleh 180 orang penduduk kampung. Mereka mendesak tindakan tegas diambil terhadap kilang haram itu.

Cerita kilang haram itu kemudiannya naik sampai ke SPRM. Agensi anti rasuah itu menyiasat Phee atas dakwaan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan imbalan melalui dua pucuk surat pada 2015 dan 2016 memohon tindakan ke atas kilang haram itu ditangguhkan.

Apabila Phee ditahan pada Jumaat lepas di pejabat SPRM Pulau Pinang, Pakatan Harapan bertempik mendakwa ada komplot hendak mengucar-kacirkan kerajaan negeri pimpinan DAP.

Phee, bersama pengurus kilang Gan Buck Hee, 70, dan pengarah Edmund Gan, 37—anak beranak—ditahan oleh SPRM sehinggalah perintah reman lima hari ke atas mereka diketepikan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Isnin.

Ketua Menteri Lim Guan Eng mengulangi pendiriannya bahawa majlis mesyuarat negeri menaruh keyakinan pada Phee, yang menafikan segala tuduhan terhadapnya bersabit kilang haram itu.

“Phee hanya menjalankan tugasnya. Dia tidak ada kena mengena dengan tuan punya kilang,” kata Setiausaha Agung DAP itu dalam satu sidang media semalam.

Sementara itu, Dr Norlela dilemparkan bermacam-macam tuduhan, terutamanya oleh penyokong DAP, kerana mengangkat masalah penduduk kampung dan jadi suara mereka. Dia dituduh pengkhianat yang menyebabkan Phee ditangkap.

Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh yang ditahan berhubung kes kilang haram itu sebelum dibebaskan kerana kesilapan tafsiran prosedur tahanan reman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2017.

Selesai cara baik

Kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP ada satu dasar yang khas berhubung semua bangunan haram yang dibina sebelum peralihan kuasa pada 2008—selesaikan dengan cara yang baik.

Menurut Lim, dasar itu akan dipertahankan. Beliau kesal dasar itu sudah dipolitikkan oleh BN dan PAS. Beliau juga mempersoalkan kenapa BN tidak ambil tindakan ke atas kilang itu semasa ia kerajaan.

“Kalau SPRM rasa dasar yang berperikemanusiaan ini salah dan melanggar undang-undang, kerajaan negeri akan segera merobohkan ribuan binaan haram di Pulau Pinang. Kami tunggu penjelasan SPRM,” katanya.

Isu ini jadi peluru buat Umno menyerang Lim dan DAP Pulau Pinang. Selepas serbuan pada Khamis, Ketua Umno Permatang Pauh Nohd Zaidi Mohd Said dan Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia Huan Cheng Guan mengadakan sidang media di kampung itu membantah kerajaan negeri. Bagaimanapun, tidak ada penduduk kampung bersama mereka.

Di tengah-tengah ribut penangkapan Phee dan hasrat SPRM menyoal Lim, Dr Norlela dan lain-lain dalam siasatannya, penduduk kampung enggan lagi bersuara.

The Malaysian Insight cuba bercakap dengan beberapa orang penduduk kampung tetapi mereka menutup mulut. Dua wanita yang didekati di sebuah kedai kopi di kampung itu malah berkata mereka tidak fikir isu ini serius.

“Ada bau apa-apa? Saya tidak ikut tanda tangan petisyen kepada kerajaan negeri,” kata seorang wanita itu yang hanya memberikan namanya sebagai Oh.

Menurut Tan, tidak ada penduduk kampung termasuk mereka yang sebelum ini riuh bersungut tentang kilang itu mahu bercakap apa-apa lagi kerana tidak mahu terjebak.

Katanya, dia juga dikecam kerana “memulakan segala-galanya.”

“Sama ada buat kerja atau tidak, kita yang bersalah dan tidak ada sesiapa pun yang hendak berterima kasih. Saya rasa kedudukan saya ini yang lebih buruk berbanding Norlela,” kata ketua kampung itu, dan menambah pemilik kilang itu pun marah padanya kerana menjejaskan periuk nasi mereka.

Tetapi Tan mempertahankan Adun Penanti itu. Katanya, Norlela sudah berkhidmat dengan baik pada penggal pertama. Beliau bagaimanapun sudah mengumumkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya akan datang mempertahankan kerusinya.

“Kalau isu ini dibincangkan dengan baik oleh semua pihak, saya yakin tak akan sampai jadi macam ini,” katanya mengeluh. – 17 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen