POLIS Anti Keganasan (CT) menangkap beberapa pengganas yang dihendaki dalam operasi anti keganasan, kata ketua polis negara hari ini.
Khalid Abu Bakar berkata pengganas itu terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing. Tetapi beliau enggan memberi penjelasan lanjut dan mengatakan maklumat berkaitan akan didedahkan dalam masa terdekat.
“(Dalam operasi CT), pengganas tempatan ada, asing pun ada…Mereka pengganas jadi tentulah mereka merbahaya.
“Dalam unit anti keganasan kita, kita menangkap beberapa pengganas yang dihendaki dalam operasi itu, jadi kita akan umumkan bila kita sudah bersedia,” kata Khalid pada satu sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini.
Bahagian Cawangan Khas Anti Keganasan Bukit Aman sejak awal bulan ini sudah mempertingkatkan keselamatan sebagai persedian menghadapi Sukan Sea Ke-29.
Ahli pasukan CT dilengkapkan dengan peralatan mengesan radioaktif bagi mengesan bahan radioaktif yang mungkin digunakan pengganas di kawasan awam.
Operasi CT tertumpu di Lembah Klang, Kedah dan Terengganu. Setakat ini 257 rakyat asing ditahan dan dibawa ke Bukit Aman untuk proses saringan berasakan senarai pengganas asing Interpol, pangkalan data Cawangan Khas, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen. – 21 Ogos, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan