Masjid India diserbu Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman


Muzliza Mustafa

Sebahagian daripada penndatang tanpa izin ditahan dan dibawa ke Bukit Aman untuk proses saringan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Ogos, 2017.

MASJID India yang terletak di tengah kota raya Kuala Lumpur dipenuhi pasukan keselamatan untuk menghapuskan ancaman keganasan susulan persediaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Sea ke 29 bulan ini.

Ketua Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kira-kira 200 anggota daripada Counter Terrorism, pasukan khas Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara mengambil bahagian dalam operasi itu.

“Operasi hari ini adalah yang pertama dalam banyak lagi operasi akan dijalankan sempena Sukan Sea. Fokus diberikan kepada Lembah Klang dan negeri yang menjadi tuan rumah sukan ini,” katanya.

Negeri yang teribat termasuklah Kelantan dan Terengganu.

Ayob berkata, tujuan utama operasi itu adalah untuk menghapuskan sebarang ancaman dan juga elemen keganasan.

Pasukan penguatkuasaan hari ini dilengkapi 111 alat yang dipinjamkan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom untuk elemen radioaktif.

Pakar anti keganasan berkata peralatan yang mempunyai kadar radioaktif tinggi boleh digunakan pengganas sebagai senjata untuk memusnahkan sasaran besar.

Jadi, alat terbabit boleh membantu pihak berkuasa mengesan ancaman berkenaan.

Selain menumpukan kepada warga asing, pasukan penguatkuasaan itu juga turut membuat serbuan di kondominium di Masjid India di mana kebanyakan penyewanya adalah warga asing.

Masjid India dikenai seagai syurga membeli belah kepada pelancong asing dan warga tempatan. Kebanyakan yang menetap di situ adalah warga Pakistan. Ia turut menjadi tumpuan pendatang tanpa izin dan warga Bangladesh dan India.

“Pemeriksaan dijalankan di setiap tingkat untuk memastikan tiada ancaman,” katanya.

Ini merupakan operasi bersama besar-besaran yang diketuai Bahagian Counter Terrorism Malaysia.

257 warga asing ditahan dan dibawa ke Bukit Aman untuk proses saringan.

Ayob berkata 40 warga asing dikesan mempunyai kaitan dengan aktiviti atau kumpulan keganasan yang ditahan sejak 2013 dihantar pulang ke negara masing-masing.

Katanya, keganasan merupakan ancaman berterusan dan Malaysia akan berusaha bagi memastikan keselamatan semua yang berada di negara ini. – 6 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen