PERSAMAANNYA amat ketara dari segi lokasi, cara penganjuran, parti politik dan kumpulan aktivis yang turut serta. Malah penjual jalanan yang menjual baju dan lilit kepala juga sama.
Perhimpunan menentang ICERD, iaitu konvensyen antarabangsa berhubung hak asasi manusia, ditujukan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), sama seperti pergerakan Bersih yang ditujukan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Sekali pandang, tema kedua-dua perhimpunan mungkin berbeza. Bantahan semalam mengenai ICERD manakala Bersih mahukan pilihan raya yang bersih dan adil.
Tetapi kedua-duanya berkongsikan kekuatan yang sama, tenaga dan motif yang sama iaitu untuk menggerak dan menyatukan pengkritik kerajaan menerusi pergerakan besar-besaran yang akan menggugat kerajaan pada pilihan raya.
Setakat 5 Mei, perhimpunan besar-besaran adalah Bersih melibatkan parti pembangkang ketika itu, DAP, PKR, Amanah dan Bersatu, dan kerajaan ketika itu adalah Barisan Nasional.
Hari ini perhimpunan ‘Bantah ICERD’ disertai oleh parti pembangkang iaitu Umno, PAS dan di pihak kerajaan pula adalah Pakatan Harapan.
Seorang wakil pertubuhan aktivis yang terlibat dalam himpunan kali ini berkata bantahan semalam merupakan permulaan.
“(Perhimpunan hari ini) merupakan permulaan satu lagi himpunan yang lebih besar pada masa akan datang,” kata Aminuddin Yahya dari Angkatan Perpaduan Ummah.
Penganalisis politik Dr Awang Azman Awang Pawi melihat persamaan dan memberi amaran bahawa sekiranya kerajaan PH tidak mengendahkan bantahan semalam, mereka akan menerima nasib sama seperti BN yang mengabaikan Bersih.
“PH perlu melihat perhimpunan ini sebagai pengajaran besar tentang dasar dan bagaimana ia dilaksanakan,” kata Awang Azman dari Universiti Malaya.
“PH perlu menjadi lebih sensitif dan tidak mengabaikan suara bantahan rakyat. Jika gelombang yang sama berterusan setiap enam bulan, ia akan memberi kesan buruk kepada kerajaan. – 9 Disember, 2018.
Baca berita penuh di sini.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Rizuan abdul rahman · Ulasan