SPEAKER Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof berkata akan membuat keputusan mengenai keanggotaan C. Sivarraajh dalam Parlimen Isnin depan berikutan keputusan mahkamah yang membatalkan kemenangannya di kerusi Cameron Highlands.
Ariff memberitahu ahli-ahli Parlimen yang beliau masih belum jelas sama ada Mahkamah Pilihan Raya telah mengisytiharkan atau membuat keputusan berhubung perkara itu.
Beliau turut menambah tidak menerima dokumen undang-undang yang menunjukkan terdapat penangguhan terhadap keputusan mahkamah itu. Beliau menjangkakan akan menerima dokumen tersebut hari ini.
Ariff mengulas gesaan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa Sivarraajh perlu dibenarkan masuk ke dalam Dewan Rakyat hari ini.
“Beliau ada hak untuk berada dalam Parlimen sehingga tempoh rayuan 14 hari berakhir. beliau ada hak sehinggalah Mahkamah Persekutuan membuat keputusan,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.
“Saya mohon Cameron Highlands dibenarkan duduk di kerusinya hari ini.”
Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula berkata Ariff telah menjatuhkan hukuman terlebih dahulu dengan menghalang Sivarraajh meenyertai sidang Dewan.
Ahli-ahli Parlimen BN kemudiannya meninggalkan Dewan selepas Arif menegaskan pendiriannya.
Semalam, speaker itu mengarahkan mengarahkan Sivarraajh keluar dari Dewan susulan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi Cameron Highlands pada minggu lepas.
Naib presiden MIC itu diberitahu supaya tidak menyertai persidangan Dewan Rakyat sehinggalah proses rayuan berhubung keputusan mahkamah itu selesai.
“Jadi, buat sementara waktu, sila tinggalkan sidang ini. Dapatkan pandangan peguam dan hantar ke pejabat speaker,” kata Ariff. – 6 Disember, 2018.
Komen