Sivarraajh diarah keluar Dewan Rakyat


C. Sivarraajh diarahkan keluar Dewan Rakyat oleh Speaker Mohamad Ariff Md Yusof hari ini susulan Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kerusi Cameron Highlands kosong pada minggu lepas.

SPEAKER Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof hari ini mengarahkan C. Sivarraajh keluar dari dewan susulan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi Cameron Highlands pada minggu lepas.

Naib presiden MIC itu diberitahu supaya tidak menyertai persidangan Dewan Rakyat sehinggalah proses rayuan berhubung keputusan mahkamah itu selesai.

“Jadi, buat sementara waktu, sila tinggalkan sidang ini. Dapatkan pandangan peguam dan hantar ke pejabat speaker,” kata Ariff.

Speaker berkata ini bagi mengelakkan ia menjadi precedent (kebiasaan) di masa depan bagaimana menangani perkara yang masih belum jelas.

Ketika ditemui di lobi Parlimen, Sivarraajh berkata beliau masih boleh menghadiri persidangan selagi Mahkamah Tinggi tidak memberi notis kehakiman berhubung status kerusi itu kepada Ariff.

Sivarraajh juga berkata telah mendapatkan pandangan pakar mengenai perkara tersebut dan berpendapat R.S.N. Rayer (Pakatan Harapan-Jeutong) sengaja membangkitkan isu status kerusi Cameron Higlands untuk memalukannya.

“Saya sudah periksa dengan pakar, dan selagi Mahkamah Tinggi belum hantar notis kehakiman pada speaker untuk memaklumkan yang kerusi Cameron Highlands kosong, saya masih lagi ahli Parlimen, masih boleh hadir persidangan.

“Saya rasa Rayer sengaja mahu malukan saya, untuk tunjuk kuasa. Tapi tak apa,” katanya kepada pemberita. – 5 Disember, 2018.

Berita penuh di sini.             


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen