8 Disember: Jangan KL jadi kota binatang!


Zainal Rashid Ahmad

DEMONSTRASI bukan budaya baharu. Dunia diubah oleh demonstrasi walaupun banyak demonstrasi meninggalkan sejarah hitam pada manusia. Malah, dalam sejarah Islam, Abdullah bin Sabba menganjurkan demonstrasi sejak zaman Khalifah Uthman Affan.

Di Malaysia, demonstrasi bermula sejak era anti Malayan Union 1946. Malah, peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang penuh berdarah itu juga, asalnya bermula sebagai demonstrasi politik.

Pada era The Angry Young Men, demonstrasi Baling 1974 yang digerakkan mahasiswa kampus berjaya melahirkan ramai pemimpin terbilang. Antaranya Anwar Ibrahim.

Sejak lapan dekad lalu lalu, sejarah demonstrasi terus meligat dan mencipta banyak fenomena politik di Malaysia. Kekalahan kerajaan Barisan Nasional pada PRU14 lalu, juga ada kaitan dengan momentum demonstrasi jalanan anjuran Bersih sejak 2007.

Saya berada sebagai wartawan dalam semua lima siri demonstrasi Bersih sejak 2007. Saya hadir bertugas sebagai wartawan. Namun, menyaksikan semua kejadiannya sebagai manusia.

Banyak ingatan mengenai perhimpunan Bersih kekal melekat dalam kepala. Malah, selalu juga memori buruk mengenai tragedi dalam demonstrasi Bersih menjadi bahan penulisan dan modal ceramah.

Dalam lima siri demonstrasi, Bersih 3 pada 28 April, 2012 paling mengerikan. Bermula dengan kejadian terperangkap dalam pertempuran di Dataran Merdeka dan terpaksa melarikan diri ke kawasan Pasar Budaya, empat jam kekacauan perhimpunan terasa begitu panjang.

Saya melihat kejadian polis dibantai perusuh, hinggalah peristiwa terpaksa menyeret warga tua yang pengsan diserang asma ketika berdemo. Wanita tua itu hampir mati di depan mata saya. Semua momen ini menjadi pengalaman ngeri.

Pada 28 April, 2012 sekitar jam 12 tengah hari saya berada di taman bersebelahan Dataran Merdeka. Duduk bersama kumpulan anggota polis biasa yang silih berganti mengawal di depan pagar kawat menghadap Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR).

“Dari mana, bang?” tanya saya.

Anggota polis muda itu menjawab: “Terengganu.”

Saya tidak akan lupa detik itu kerana anggota polis itu baru seminggu berkahwin. Malah, sempat dikongsi foto isterinya.

Dua jam kemudian, saya berada di belakang trak Polis Simpanan Persekutuan. Sekelip mata, polis melaras senapang gas pemedih mata apabila peserta perhimpunan mulai hangat dan bertindak ganas. Provokasi liar bermula ketika perarakan muncul dari arah jalan TAR, Jalan Tun HS Lee dan Bulatan Padang Merbok.

Laungan suara protes dan reaksi keganasan mulai ketara. 15 minit kemudian, sekitar 3.30 petang, pertempuran antara polis dan perusuh berlaku. Peluru gas pemedih mata dan meriam air ditembak bertalu-talu. Demonstran dan polis bertempur liar selama empat jam. Suasana itu tidak ubah seperti pertarungan laga lembu di Pampledo, Sepanyol.

Manusia perusuh berlari merempuh pagar kawalan dan saling bertempur dengan cota polis. Antaranya, sudah ada yang bertukar menjadi haiwan. Malah, lebih haiwan daripada segala haiwan. Siri pembantaian berdarah itu menjadikan harga demokrasi pada 28 April berubah menjadi ritual menjamu korban penyembelihan kepada dewa purba.

Sejarah keganasan 28 April, 2012 melekat di kepala. Ia lebih teruk berbanding siri demonstrasi 1998 berikutan pemecatan Anwar sebagai timbalan perdana menteri.

Pada 28 April, 2012 titik keganasan sebenarnya bermula dengan tindakan seorang lelaki menendang pagar kawalan di depan bangunan Sultan Abdul Samad. Setelah pagar tumbang, terjadilah rusuhan. Semuanya bermula dengan begitu mudah.

Rusuhan bukan agenda yang dirancang penganjur Bersih. Tujuan asal Bersih ialah menuntut pilihan raya lebih bersih diadakan di negara ini. Namun, perbuatan jahat seorang anarkis mengubah matlamat perhimpunan Bersih.

Hasilnya berbaloi, kerana provokasi seorang lelaki menendang pagar halangan, ia berjaya menyebabkan 80,000 peserta demonstrasi tiba-tiba bertempur dengan lebih 3,000 anggota polis.

Korban pula bukan kecil. Pembantaian antara perusuh dengan polis menyebabkan 60 cedera. Empat anggota polis turut dimasukkan ke hospital. Paling sadis ialah pembantaian terhadap anggota polis di depan Bangunan Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Jurukamera TV Alhijrah turut menerima lapan jahitan di kepala kerana cuba melindungi anggota polis yang malang itu ketika dibantai perusuh.

Di depan Pudu Raya, dari atas kawasan tinggi menara Maybank, saya melihat pertempuran seperti perang. Perusuh melempar batu dan polis menyerang balas dengan gas pemedih mata, tembakan meriam air dan pembantaian cota.

28 April, 2012 adalah hari bersejarah yang malang. Visual pembantaian dan pertempuran polis dan perusuh segera tersebar ke seluruh dunia. Sekelip mata, Malaysia menjadi negara popular dengan imej polis terkejam di dunia.

Itu realiti. Demonstrasi memang asalnya simbol demokrasi. Namun, dalam banyak keadaan, ia menjadikan manusia lebih haiwan berbanding haiwan.

Pembantaian antara polis dan perusuh menjadikan negara kita seperti kandang haiwan sarkas. Paling tidak, itulah persepsi masyarakat dunia. Imej negara majmuk yang aman, berubah di mata dunia sejak 28 April, 2012.

Himpunan Ummah?

Pada Sabtu ini 8 Disember, Himpunan Ummah akan kembali. Satu lagi siri demonstrasi atas nama demokrasi. Manusia Malaysia sekali lagi memilih untuk berjuang demi demokrasi dengan kembali beraksi secara protes jalanan.

Itu semua atas nama iltizam politik. Namun, sinisnya: politik juga boleh melahirkan sekawan haiwan yang akan muncul dalam demonstrasi demi mencetuskan kekacauan.

Saya sudah melihat sejumlah haiwan pada 28 April, 2012. Tidak mustahil haiwan demokrasi akan terus lahir pada demonstrasi 8 Disember ini. Mula-mula mereka berhimpun sebagai manusia demokrasi dengan semangat yang hebat. Akhirnya, bertukar jadi binatang yang berniat jahat.

Himpunan ummah 8 Disember asalnya dizahirkan untuk menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Walaupun ICERD sudah disahkan batal, perhimpunan yang dirancang tetap diteruskan. Kali ini, niatnya diubah dengan simbol kesyukuran.

Namun percayalah, pada perhimpunan itu akan ada haiwan demokrasi yang tidak akan mensyukuri apa-apa. Mereka akan menyelinap dan berusaha mencipta kekacauan. Haiwan jenis ini mahukan Perhimpunan Ummah 8 Disember bertukar menjadi peristiwa berdarah.

Sejarah 28 April, 2012 mengajar kita. Ketika suasana 8 Disember nanti dibakar semangat Islam atau ketuanan Melayu, sekelip mata saja muncullah anarkis. Seekor haiwan mampu mencetuskan provokasi demi melahirkan ribuan lagi kawanan haiwan. Kuala Lumpur boleh berubah menjadi kota binatang.

Moga 8 Disember tiada haiwan yang menyelit dengan niat jahat untuk menjadikan Kuala Lumpur kota binatang! Moga sejarah 28 April, 2012 tidak berulang.

Persoalannya: Apakah ada jaminan haiwan itu dapat kita kalahkan? – 5 Disember, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tak ada jaminan. Hanya satu perkataan. Berani buat berani tanggung

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Rizuan abdul rahman · Ulasan