BEKAS ketua audit negara Ambrin Buang memberi kerjasama penuh semasa prosiding siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Ronald Kiandee.
Dakwaan berhubung laporan audit 1MDB telah dipinda juga telah dibincangkan semasa sesi soal jawab bersama Ambrin, kata beliau.
“Beliau (Ambrin) bekerjasama dan memberi kenyataa yang akan membantu PAC. Mengenai laporan audit yang dipinda juga dibincangkan,” kata Kiandee yang juga ahli Parlimen Beluran.
Menurutnya, siasatan disambung pada jam 2.30 petang ini. PAC juga katanya tidak boleh memberikan butiran siasatan.
“Kami tidak boleh berikan butiran mengenainya tetapi kandungan perbincangan, kenyataan dan soalan adalah berdasarkan sama ada ia (laporan audit) telag dipinda atau tidak,” tambah Kiandee.
beliau juga berkata jawatankuasa yang terdiri daripada beberapa peguam itu, sedang menyiasat sama ada terdapat perubahan dalam laporan tersebut.
Pada 30 Oktober, Ambrin menolak dakwaan Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh yang laporan akhir audit 1MDB telah dipinda.
Ambrin sepatutnya bertemu PAC untuk prosiding siasatan 1MDB pada 29 Oktober lalu tetapi Kiandee membatalkan sesi tersebut. Katanya, siasatan tersebut ditangguhkan atas nasihat peguam negara.
Prosiding akan dijalankan selama tiga hari sehingga Khamis ini.
Ketua Audit Negara Madinah Mohamad dijadualkan akan dipanggil untuk memberi kenyataan esok, diikuti bekas pengarah Sektor Audit Kerajaan, Saadatul Nafisah pada 6 Disember. – 4 Disember, 2018.
Komen