Tidak percaya kerajaan, Melayu Perlis ingin teruskan himpunan bantah ICERD


Sheridan Mahavera

Ahli Perkasa memegang spanduk anti ICERD di Kuala Lumpur semalam. Banyak kumpulan sayap kanan Melayu dan parti politik menentang perjanjian anti diskriminasi atas alasan ia akan menghapuskan hak istimewa Bumiputera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2018.

PENIAGA Fauzi Ahmad menyalahkan manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) ketika memberi justikasi mengapa perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan semua bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) masih penting.

Sekiranya kerajaan persekutuan PH mempunyai rekod tidak memenuhi janji pilihan raya, maka apakah jaminan ia akan berpegang kepada keputusannya untuk tidak meratifikasi ICERD?

Katanya, jika PH boleh mengingkari janji pilihan raya, satu hari nanti ia boleh melakukan perkara yang sama dan mengembalikan semula rancangan untuk meratifikasi ICERD.

Lelaki berusia 53 tahun itu merupakan antara 600 orang yang menghadiri perhimpunan di Kangar, Perlis, semalam menjelang perhimpunan utama anti ICERD di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Kumpulan pejuang Melayu dan Islam, bersama parti pembangkang PAS dan Umno menganjurkan himpunan besar-besaran pada 8 Disember menentang ICERD.

Perhimpunan akan berlangsung walaupun pengumuman kerajaan pada 23 November yang ia tidak akan mengesahkan konvensyen itu.

Penganjur berkata perhimpunan itu adalah bagi meraikan keputusan yang dibuat kerajaan dan bukan satu protes.

“Masalah dengan kerajaan ini, ia kata tangguh ICERD, bukannya batal rancangan untuk meratifikasikannya,” kata Fauzi kepada The Malaysian Insight di ibu pejabat PAS Perlis, lokasi perhimpunan anti-ICERD peringkat negeri diadakan.

“kita tidak boleh percaya kepada kerajaan ini. Kalau ia tak boleh tunaikan manifestonya, macam mana kita nak mempercayainya?” Kata Fauzi, yang merancang untuk menghadiri perhimpunan di Kuala Lumpur.

Dalam kernyataan pada 23 November, Jabatan Perdana Menteri tidak mengatakan ia menangguhkan pengesahan ICERD.

Guru swasta, Mohd Azrul meengulangi sentimen Fauzi, sambil menambah kerajaan perlu menyatakan keputusannya mengenai ICERD di Parlimen.

“Kenyataan perdana menteri tidak kukuh. Kita mahu semua ahli Parlimen kerajaan membuat kenyataaan di dalam Parlimen bahawa kerajaan tak akan meratifikasi ICERD.”

Azrul tidak fikir perhimpunan itu akan meningkatkan ketegangan kaum walaupun ia akan berlaku selepas insiden rusuhan penempatan semula kuil Hindu di Selangor.

Sesetengah kumpulan Islam mempertikaikan perhimpunan itu memandangkan emosi yang masih wujud susulan kejadian kuil itu.

Para mufti Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga menggesa pihak penganjur membatalkan perhimpunan memandangkan kerajaan membatalkan rancangannya untuk mengesahkan ICERD.

“Himpunan ini bukan perkauman. Kita menentang ICERD bukan sahaja untuk Melayu tetapi kita menentang ICERD bagi semua bangsa Malaysia,” kata Azrul.

Mereka yang lain di perhimpunan Kangar bercakap mengenai bagaimana perhimpunan Kuala Lumpur adalah bagi menunjukkan kekuatan dan perpaduan kalangan orang Melayu tanpa mengira parti.

Isu ICERD menghidupkan kembali politik PAS dan Umno yang mengetepikan permusuhan sejak sekian lama untuk membentuk kerjasama yang mampu memberi kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15.

“Himpunan ini masih penting untuk menunjukkan Melayu-Islam boleh bersatu untuk menentang segala kemungkaran yang dilakukkan oleh kerajaan PH,” kata pekerja kilang Nurdin Isa, 37.

Ketua Pemuda Umno Perlis, Harmizan Abdul Halim berkata setiap cawangan di negeri ini diarahkan menghantar sekurang-kurangnya sebiji kereta yang dinaiki empat ahli untuk  menghadiri perhimpunan tersebut. Umno mempunyai kira-kira 300 cawangan di Perlis.

“Kami mahu mendapat kansekurang-kurangnya 800,000 orang pada perhimpunan itu. Ini adalah perhimpunan aman untuk menyatukan umat Islam dan memberitahu kerajaan agar membatalkan rancangannya untuk mengesahkan ICERD.” – 3 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen