Abai pandangan mufti, PAS tegas mahu berhimpun


Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah berkata perhimpunan berhubung ICERD itu tidak ada kaitan dengan perkauman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2018.

PAS hari ini membuat penegasan untuk tetap menghadiri Himpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang akan berlangsung di Dataran Merdeka 8 Dis ini walaupun beberapa pihak mendesak supaya perhimpunan dibatalkan.

Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah berkata parti itu menghormati setiap pandangan yang diberikan termasuk oleh tokoh agama namun pihaknya mempunyai pertimbangan lain untuk meneruskan perhimpunan berkenaan.

“Kita menghormati pandangan Mufti Kelantan (Mohamad Shukri Mohamad) cuma kita ada pertimbangan lain sebab Perdana Menteri sendiri sebut apa yang berlaku (rusuhan) di Subang Jaya itu bukan masalah perkauman, bukan masalah agama.

“Jadi tak berbangkitlah (isu perkauman). Itu masalah-masalah dalaman sahaja. Insya-Allah setakat ini kita akan teruskan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah di Medan Ilmu di sini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan Mohamad Shukri menggesa himpunan kesyukuran terhadap penolakan ICERD tidak perlu diteruskan memandangkan keadaan semasa yang agak tegang.

Beliau dipetik berkata penerusan himpunan itu hanya mengundang “hal yang tidak baik”, selain kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan.

Mengulas lanjut Mohd Amar berkata PAS turut menjangkakan kehadiran kira-kira satu juta peserta pada perhimpunan berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai desakan permohonan maaf secara bertulis dan tuntutan ganti rugi yang diminta Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Husam Musa berhubung pengeluaran surat pekeliling menarik balik larangan memasuki pejabat kerajaan negeri sudah dianggap sebagai satu permohonanan maaf daripada kerajaan negeri.

Mohd Amar berkata pengeluaran surat pekeliling itu sudah mencukupi namun bergantung kepada tafsiran masing-masing berhubung perkara berkenaan.

“Macam rumah kitalah, mula-mula tak bagi orang datang, lepas itu tiba-tiba kita benarkan (mereka masuk kembali), cukuplah. Takkan kita perlu minta maaf pula sebab tak benar dia masuk rumah kita (sebelum ini),” katanya. – Bernama, 30 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen