UMNO akan tetap menyertai perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kata Ahmad Zahid Hamidi, walaupun pelbagai pihak menegur agar ia tidak diteruskan termasuk beberapa mufti.
Katanya, perhimpunan pada 8 Disember itu tidak ada kaitan dengan insiden kekecohan berkaitan kuil Hindu di Subang Jaya minggu lalu.
“Itu isu yang berlainan. Apa yang berlaku di Subang tiada kaitan dengan Perhimpunan Aman Bantah ICERD yang akan kita adakan pada 8 Disember ini.
“Ia adalah untuk meraikan kejayaan penolakan ratifikasi oleh kerajaan. Jadi tidak salah kita meraikan kejayaan kita itu,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat dengan Senator-Senator Barisan Nasional di ibu pejabat BN di Kuala Lumpur, hari ini.
Kuil Hindu di Subang Jaya itu jadi titik perhatian selepas sekumpulan perusuh menyerang tapak kuil itu pada awal pagi Isnin lalu. Suasana tegang berlarutan pada malam esoknya apabila perhimpunan penganut Hindu dekat tapak kuil itu bertukar ganas.
Pihak berkuasa dan pihak pengurusan kuil bagaimanapun menegaskan apa yang berlaku langsung tidak ada kena mengena dengan isu perkauman atau agama, sebaliknya adalah isu perpindahan tapak kuil.
Pemimpin Amanah, Raja Bahrin Shah awal hari ini menyifatkan Umno dan PAS tidak hormat institusi raja-raja Melayu apabila bertegas mahu meneruskan perhimpunan walaupun sudah ditegur oleh mufti dari beberapa negeri.
Beliau yang juga timbalan menteri turut mengingat titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah semalam yang mahu rakyat dan pemimpin mempertahankan perpaduan dalam di negara yang berbilang kaum dan agama ini.
Presiden PKR Anwar Ibrahim juga hari ini berkata, Umno dan PAS tidak perlu meneruskan perhimpunan 8 Disember ini kerana kerajaan sudah membatalkan cadangan meratifikasi ICERD. – 2 Disember, 2018.
Komen