PRESIDEN Perkasa Ibrahim Ali tidak perlu untuk mengajar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung siapa yang perlu dipilih sebagai menteri dan timbalan menteri.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata kenyataan Ibrahim pada Himpunan Jihad Perkasa hari ini adalah tidak wajar.
“Saya rasa Dr Mahathir tahu apa yang beliau lakukan. Beliau berpengalaman dan kami berdiri teguh disebalik keputusan yang dibuat oleh perdana menteri, kata Xavier ketika dihubungi.
“Untuk mengatakan menteri India sudah besar kepala adalah tidak wajar,” tambahnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R. Sivarasa menyifatkan ucapan Ibrahim itu sebagai mengarut.
Ahli Parlimen Subang itu memberitahu The Malaysian Insight yang Dr Mahathir pasti tidak akan mempedulikan Ibrahim.
“Tiada apa yang saya boleh katakan selain ianya “sangat mengarut”. Orang yang berfikir seperti itu mengancam perpaduan nasional.
“Saya percaya PM tidak akan mempedulikan beliau,” katanya.
Terdahulu hari ini, Ibrahim menggesa Dr Mahathir untuk memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy serta merta. Beliau kemudian menyatakan menteri India dalam kabinet sudah besar kepala.
“Sekarang jangan sampai kita buka langkah, sebab itu kita mendesak lebih baik Waytha Moorthy ini digugur daripada Kabinet dan saya desak dikaji kuota kaum Hindu dalam kabinet.
“Lantik orang Melayu Pakatan Harapan. Ramai antara mereka yang berkebolehan. Kerajaan sudah beri mereka ruang yang terlalu banyak dan kini mereka semakin besar kepala.
“Bagaimana nak mengajar orang berkepala besar? Anda akan lihat nanti,” kata Ibrahim kepada wartawan, selepas majlis yang dinamakan Himpunan Jihad Perkasa itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Suaram, Sevam Doraisamy berkata, Ibrahim tidak berhak menggesa untuk tindakan sedemikian diambil.
Sevan turut menyelar Ibrahim kerana kenyataan provokasi dan mengatakan sebagai pemimpin, beliau sepatutnya menenangkan keadaan.
“Sebagai pemimpin, beliau sepatutnya menenangkan keadaan dan tidak memainkan isu perkauman atau agama apabila keadaan semakin baik.
“Beliau tidak sepatutnya membangkitkan isu ini. Sekiranya beliau tidak berpuas hati, beliau perlu mencari penyelesaian atau idea bagaimana untuk mengatasi masalah,” katanya. – 2 Disember, 2018
Komen