Pihak kuil sambut baik tawaran peguam negara bantu akhiri pertikaian


Noel Achariam Ravin Palanisamy

Pihak kuil percaya kebenaran akan terbukti, dan peguam negara akan dapat menyelesaikan masalah yang timbul dengan pemaju. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2018.

PARA penganut Hindu di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield berharap isu tanahnya akan dapat diselesaikan sekarang dengan tindakan Jabatan Peguam Negara menawarkan bantuan.

Ahli Jawatankuasa Pasukan Petugas Selamatkan Kuil Seafield, Elangovan Annamalai memuji tawaran bantuan daripada Peguam Negara Tommy Thomas sebagai berita yang sangat baik.

“Kami percaya kebenaran akan terbukti, dan peguam negara akan dapat menyelesaikan masalah ini dengan pemaju.

“Kami juga mahu siasatan menyeluruh dijalankan dengan saksama berhubung apa yang berlaku (tawaran dibuat mengenai tanah). Terdapat banyak versi mengenai apa yang dikatakan berhubung tanah dan pemilikannya,” katanya kepada The Malaysian Insight .

Semalam, Thomas berkata beliau dapat membantu menyelesaikan pertikaian antara pihak tanah kuil di Subang Jaya dan pemaju One City Development Sdn Bhd.

Beliau berkata isu itu berpunca daripada perintah persetujuan yang direkodkan oleh mahkamah dalam saman sivil, sambil menambah peguam negara mempunyai kuasa untuk membantu menyelesaikan perkara itu.

“Saya sukacita bertemu peguam mewakili semua pihak terbabit untuk menyelesaikan pertikaian mengikut Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan 1956,” katanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam menolak permohonan injunksi oleh sekumpulan penganut, dan beberapa jam kemudian, satu lagi mahkamah memberikan perintah interim untuk menghentikan One City Development daripada mengambil alih kuil itu.

Pendengaran kedua berlaku di depan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Wong Kian Kheong, yang membenarkan injunksi sementara untuk menghalang pemaju daripada mengambil langkah berkaitan dengan pemilikan kuil itu.

Perintah interim dikenakan sehingga pelupusan permohonan injunksi pada 11 Januari tahun depan.

Elangovan berharap isu itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

Sementara itu, satu perkara yang semakin reda adalah suasana tegang di luar kuil.

Malam tadi, hanya segelintir individu dilihat berada di sana, berbanding dengan sejumlah besar yang berkumpul sejak keganasan meletus pada sebelum subuh Isnin. – 30 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen