Peguam negara sedia selesai pertikaian tanah kuil


Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan kaedah penyelesaian tersebut hari ini, tiga hari selepas siri rusuhan meletus di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 di Subang Jaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2018.

PEGUAM Negara Tommy Thomas sedia bertemu para peguam yang terlibat dalam kes tuntutan ke atas tapak kuil di Seafield untuk menyelesaikan pertikaian di antara pemaju dan pentadbiran kuil.

Katanya, penyelesaian itu boleh dijalankan mengikut kuasa beliau sebagai peguam negara memandangkan kes itu berlangsung di mahkamah sivil.

“Pertikaian dasar berpunca daripada satu arahan kebenaran di mahkamah dalam satu prosiding sivil. Saya sukacita bertemu peguam mewakili semua pihak terbabit untuk menyelesaikan pertikaian…,” katanya.

Beliau menjelaskan, beliau berkuasa membuat penyelesaian itu mengikut Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Peruntukan dalam Seksyen 9 itu akan membolehkan peguam negara menjadi satu pihak dalam pertikaian berkenaan.

Peruntukan itu antara lain memberi kuasa kepada peguam negara untuk memecat dan melantik pemegang amanah dalam lembaga pengurusan sesuatu harta.

Beliau juga berkuasa menganugerahkan sesuatu harta kepada pemegang amanah, mengarahkan siasatan dan memutuskan nisbah pembahagian sesuatu harta.

Selain itu, beliau berkuasa mengarahkan penjualan, penyewaan, penggadaian, atau penukaran sesuatu harta amanah, sama ada sebahagian atau sepenuhnya.

Beliau mengumumkan kaedah penyelesaian tersebut hari ini, tiga hari selepas siri rusuhan meletus di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 di Subang Jaya.

Ia juga diumumkan hari ini susulan kenyataan kerajaan Selangor untuk tidak mengambil alih tanah kontroversi yang menempatkan kuil tersebut.

Rancangan untuk kerajaan Selangor mengambil alih tanah itu dilaporkan merupakan antara perkara yang dibincangkan Menteri Besar Amirudin Shari dengan Menteri Perpaduan P Waytha Moorthy.

Amirudin hari ini mengumumkan, ia tidak akan dilaksana kerana melibatkan kos tinggi dan tidak adil kepada pembayar cukai Selangor.

Sekiranya dilaksana, langkah itu juga akan menjadi pendahulu yang tidak baik baik kes-kes lain seumpamanya yang akan dibicarakan di mahkamah kelak, kata menteri besar. – 29 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen