Pemimpin pusat perlu hormati autonomi PKR Sabah, kata ahli MPP


Jason Santos

Kepimpinan pusat perlu menghormati Deklarasi Kuching dengan menyerahkan keputusan siapa pengerusi PKR negeri ditentukan kepimpinan negeri, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat Rahimah Majid. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2018.

TIDAK akan ada kuasa autonomi untuk PKR Sabah sekiranya kepimpinan tertinggi pusat yang menentukan siapa pengerusi parti negeri itu, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Rahimah Majid hari ini.

Katanya, parti perlu menghormati Deklarasi Kuching yang diratifikasi parti pada 2012.

Deklarasi Kuching diterima oleh PKR dan ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai ikrar menghormati Perjanjian Malaysia 1963 sekiranya menang pilihan raya.

“Ini bermaksud pelantikan pengerusi negeri bukanlah bidang kuasa presiden.

“Pada 2016, ketika bekas pengerusi PKR Lajim Ukin keluar parti, Anwar datang ke Sabah dan bercakap dengan semua ketua cabang tentang siapa yang mereka mahukan sebagai pengerusi negeri seterusnya.

“Ketika itu, semua orang memilih (Christina) Liew berbanding Ketua Cabang Sepanggar Dr Ronald Chia sebagai pengerusi negeri,” katanya.

Rahimah yang juga ketua Cabang Kudat, adalah salah seorang yang dipanggil bermesyuarat tentang perubahan kepimpinan PKR Sabah pada Ahad.

Beliau adalah antara pemimpin yang membentuk kumpulan menyokong Timbalan Presiden Azmin Ali.

Menurutnya, pasukannya menerima sokongan 15 daripada 26 ketua cabang Sabah dan Labuan dan ia mencukupi untuk menyingkirkan Liew dan ahli exco lain.

Rahimah berkata, mereka menamakan Ketua Cabang Tawau Kong Hong Ming sebagai pengerusi baharu.

Sebelum ini, Liew memberitahu wartawan yang beliau menyerahkan kepada kepimpinan pusat untuk membuat keputusan siapa yang akan menjadi pengerusi negeri.

Liew mendakwa beliau tidak mengetahui tentang usaha kumpulan tertentu dalam parti untuk menyingkirnya, menyifatkannya hanya khabar angin. – 29 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen