Pengerusi PKR Sabah tak risau gerakan mahu menyingkirnya


Jason Santos

Pengerusi PKR Sabah Christina Liew berdepan gerakan mahu menyingkirkannya secara terbuka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2018.

PENGERUSI PKR Sabah Christina Liew tidak risau tentang rancangan musuh politiknya untuk menyingkirkannya daripada jawatan tersebut.

Katanya, tidak ada apa yang luar biasa dengan gerakan penyingkiran itu kerana kumpulan sama sudah cuba berbuat demikian setiap kali pemilihan pengerusi tiga tahun sekali itu.

“Saya sudah bersama PKR Sabah selama 20 tahun dan seingat saya mereka selalu berbuat begitu setiap tiga tahun sekali,” katanya.

Beliau yang merupakan timbalan ketua menteri Sabah dan juga menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar negeri berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran pelancongan berasaskan komuniti di sebuah kompleks beli belah di Kota Kinabalu hari ini.

Sebuah kumpulan pencabar yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali di Sabah mendakwa meraih sokongan 15 ketua cabang untuk menyingkirkan Liew selaku pengerusi PKR negeri.

Terdapat 25 cabang PKR di Sabah, termasuk satu di Labuan.

Kumpulan itu juga mendakwa mereka mempunyai “locus standi” untuk melakukan mesyuarat ketua cabang kerana Ketua Cabang Kudat Rahimah Majid adalah ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Kumpulan itu mengadakan mesyuarat pada Sabtu lepas dan mencalonkan Ketua Cabang Tawau Kong Hon Ming selaku pengerusi baharu negeri dan akan menghantar namanya kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim sekembalinya beliau daripada lawatan luar negara.

Liew tidak dijemput ke mesyuarat tersebut dan berkata beliau tidak tahu mengenainya dan kerana itu apa sahaja yang dikatakan kumpulan pencabar itu hanyalah “khabar angin”.

Tambahnya lagi, beliau tidak akan mengadakan sebarang mesyuarat dalam masa terdekat untuk semua 26 ketua cabang.

“Walaupun kalau saya panggil mesyuarat, ia tidak akan mengenai jawatan pengerusi negeri kerana akan membincangkan bagaimana parti akan bergerak ke depan dan mencari cara untuk membantu rakyat,” katanya yang juga menambah akan menyerahkan keputusan pemilihan pengerusi terhadap kepimpinan tertinggi PKR dan Anwar. – 29 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen