POLIS memanggil penganjur serta pemimpin Umno dan PAS untuk berbincang mengenai penganjuran perhimpunan 8 Disember, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.
Ahli Parlimen Ketereh itu mengesahkan, setakat ini pihak penganjur masih menunggu kebenaran daripada polis untuk mengadakan himpunan berkenaan, yang dijadual berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
“Semalam Balai Polis Dang Wangi sudah memanggil pihak penganjur serta wakil daripada Umno dan Pas. Permit belum dapat, masih dalam proses perbincangan,” katanya kepada wartawan di obi Parlimen, hari ini.
Kekacauan di sebuah kuil Hindu di Subang Jaya, Selangor sejak Isnin bagaimanapun mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat yang mempersoalkan kewajaran perhimpunan 8 Disember ini diteruskan.
“Pihak penganjur perlu memastikan himpunan itu berjalan dengan aman, tidak boleh jadikan ia sebagai isu perkauman,” tambah Annuar.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya juga masih menunggu laporan hasil pertemuan wakil Pas dengan polis semalam.
“Wakil belum bagi maklumat. Mungkin dia dapat nasihat daripada polis berhubung bentuk himpunan,” katanya ketika ditemui media di Parlimen, hari ini.

Tuan Ibrahim juga menyatakan rasa tidak bersetuju untuk mengaitkan isu kuil dengan Himpunan Bantah ICERD kerana ia adalah mengenai isu polisi awam.
“Kita jemput semua kaum, ini bukan himpunan kaum. Ia untuk semua pihak yang cintakan kedamaian 60 tahun kita kecapi bersama.
“Saya difahamkan ada (kaum lain yang hadir) tapi kena tanya penganjur berapa ramai (yang akan sertai),” kata beliau.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga menyokong usul tergempar yang telah dihantar oleh wakil kerajaan dan pembangkang, semalam berhubung isu kuil di Seafield.
Malah PAS sebelum ini berkata akan mengkaji semula penyertaan dalam perhimpunan 8 Disember kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini dalam perhimpunan itu.
Umno pula mengumumkan untuk menunggu keputusan penganjur sama ada akan meneruskan atau tidak perhimpunan tersebut.
Siri rusuhan di Subang Jaya, Selangor berhubung isu tanah sebuah kuil Hindu berusia 147 tahun itu menyebabkan seramai 28 ditahan dan lapan cedera setakat ini.
Individu yang cedera itu termasuk seorang anggota bomba yang cedera parah akibat diserang perusuh.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam berkata kekacauan dua malam itu merupakan perbuatan jenayah yang tiada kaitan dengan isu perkauman atau agama, dan ia hanya melibatkan isu perpindahan kuil Hindu.
Perhimpunan 8 Disember itu awalnya dicadangkan untuk membantah hasrat kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Namun selepas kerajaan mengumumkan tidak akan meratifikasi ICERD, penganjurnya berkata mereka akan meneruskan perhimpunan untuk “merayakan kejayaan” menyekat ratifikasi itu. – 28 November, 2018.
Komen