Dewan Rakyat mungkin bahas usul kuil Seafield Khamis ini


Asila Jalil Zaim Ibrahim

Rusuhan kuil di USJ menjadi tajuk utama media sejak dua hari lepas yang menyaksikan kecederaan parah seorang anggota bomba akibat dipukul orang ramai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2018.

DEWAN Rakyat dijangka membahaskan Khamis ini kejadian rusuhan di kuil Hindu di Subang Jaya, yang mencetuskan suasana tegang dan keresahan umum sejak dua hari ini.

Beberapa ahli parlimen kerajaan dan pembangkang siang tadi memasukkan usul segera mengenainya yang dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof tengah hari tadi.

Dua usul berasingan dikemukakan Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee.

“Usul ini telah diterima oleh Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat. Beliau telah memaklumkan akan dipertimbangkan untuk dibahas pada Khamis ini,” kata Fahmi dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Sidang media itu disertai bersama ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, antaranya P Prabakaran (Batu-PKR), Noh Omar (Tanjong Karang-BN), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah-Bebas) dan Maria Chin (Petaling Jaya-PKR). 

Beliau menambah, isu tersebut perlu ditangani bersama antara pihak kerajaan dan pembangkang bagi menjernihkan keadaan.

“Dan kami telah berkumpul sebagai satu tanda solidariti tanpa kepartian untuk menunjukkan bahawa semua ahli Parlimen beranggapan perkara ini perlu diberikan penekanan khusus dan perlu kita rungkai secara bersama dalam suasana keharmonian dan perlu kita bergerak ke hadapan,” katanya.

Noh Omar tidak anggap kejadian di kuil USJ itu sebagai isu perkauman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2018.

Bagi Noh Omar, beliau menasihati agar isu tersebut tidak dipolitikkan dan tidak beranggapan ia sebagai isu perkauman.

“Mesti ada semangat perpaduan dan jangan curahkan minyak dalam keadaan tengah panas,” jelasnya. 

Dalam sidang media berbeza, Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berkata BN melalui Datuk Seri Ronald Kiandee telah menghantar usul tergempar pada speaker di bawah Perkara 18 (1) untuk tangguh dewan supaya boleh bincang kes kuil Seaafield.

Beliau berharap Spekaer Dewan Rakyat  menerima usul tersebut dan menangguhkan sesi dewan untuk memberi ruang berbincang isu kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman Seafield.

“Kita di peringkat ahli Parlimen BN rasa terpanggil untuk nyatakan perasaan kita yang begitu sedih dan kecewa dengan insiden Kuil Seafield, “katanya.

Beliau turut menggesa agar semua masyarakat tidak mudah mempercayai berita yang tidak sahih dan hanya menunggu laporan daripada pihak berkuasa.

Rusuhan terbaru melibatkan elemen keagamaan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman sebaliknya berhubung dengan pemilikan tanah dan isu perundangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 November, 2018.

Rusuhan tersebut mendapat perhatian Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, beliau menganggap ia adalah satu kes jenayah.

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata kawalan lebih ketat serta tindakan lebih tegas akan dilakukan bagi mengelak kejadian rusuhan berlaku.

Seramai 1,400 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis trafik akan ditempatkan di kawasan kuil Sri Maha Mariamman.

Polis setakat ini menahan 21 orang berkaitan kekecohan di kawasan kuil itu yang bermula awal pagi Isnin, diikuti oleh satu lagi episod awal pagi ini.

Rusuhan yang berlaku awal pagi ini mengakibatkan dua kenderaan di lebuh raya dibakar serta membakar sekali lagi bangkai sebuah kenderaan di luar perkarangan kuil dan merosakkan sebuah jentera bomba.

Sebanyak 23 kenderaan musnah dibakar setakat ini. – 27 November, 2018.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen