MIC menggesa penganut Hindu dan masyarakat India berhenti daripada berhimpun dekat tapak Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, yang jadi titik kekacauan sejak dua hari lalu, bagi mengelakkan keadaan semakin keruh.
Presidennya, S A Vigneswaran, berkata cukuplah keadaan dan keselamatan di sekitar kuil berumur 147 tahun itu dikawal pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Jangan fikir lima ribu orang berkumpul nak jadi hero. Jangan jadi jaguh kampung untuk buat kecoh,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini, beberapa beberapa pimpinan MIC.
“Buat benda bodoh kepada golongan tidak bersalah dan memperjudikan keselamatan awam,” tambahnya, merujuk pada kekacauan malam kedua yang berlaku awal hari ini.
Ketua Polis Negara Fuzi Harun sebelum itu juga menasihati orang ramai supaya tidak berhimpun dekat kuil itu, walaupun beliau mengakui polis tidak boleh menyekat mereka daripada pergi ke tempat ibadat itu.
Dalam pada itu, Vigneswaran kecewa kerana isu yang berlaku sebenarnya adalah soal pemindahan kuil dan bukannya isu perkauman.
“Perkara terbaik adalah jangan sesiapapun berhimpun di kuil. Tiada keperluan pergi ke sana.
“Ia bukannya isu perkauman. Ia hanyalah isu pemindahan pusat ibadat. Jangan memandang rendah dengan kekuatan polis,” katanya.
Kekacauan di kuil itu tercetus apabila puluhan individu merusuh kira-kira jam 2 pagi Isnin di kawasan tapak kuil sehingga menyebabkan 18 kereta pelbagai jenis dan dua motosikal terbakar.
Kekacauan itu merebak pada malam kedua apabila lebih kurang 2,000 penganut Hindu berhimpun malam semalam dekat tapak kuil itu untuk menyatakan sokongan.
Perhimpunan itu bagaimanapun bertukar ganas apabila ada yang merusuh membakar kereta dan menyerang bangunan One City Mall yang menempatkan pejabat pemaju terlibat.
Seorang anggota bomba yang diserang oleh perusuh kini kritikal dan terpaksa dibantu dengan alat pernafasan.
“Pegawai bomba itu nak selamatkan nyawa tapi nyawa dia yang terancam. Perbuatan ini tidak boleh diterima sama sekali, perbuatan ini berlebih-lebihan.
“Saya sangat kesal dengan kejadian anggota yang jaga ketenteraman awam dipukul, pihak polis perlu ambil tindakan,” kata speaker Dewan Negara itu.
Dalam pada itu, Vigneswaran menyindir Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy, apa yang berlaku sekarang adalah “balasan” atas tindakannya menyebar politik kebencian sejak memimpin tunjuk perasaan Hindraf 11 tahun lalu.
Waytha ketika itu memimpin badan masyarakat India yang menuntut hak mereka. – 27 November, 2018.
Komen