Rusuhan kuil Seafield: Berebut tanah atau ada isu lain?


K. Kabilan

Syarikat One City menafikan mereka terlibat dalam serangan di kuil Sri Maha Mariamman hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 November, 2018

SETELAH keadaan kembali tenang selepas serangan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya hari ini, masih ada tanda tanya tidak berjawab: Siapa penyerang itu dan apa motif mereka?

Polis berkata penyerangnya Melayu. Motif mereka masih tidak diketahui.

Adakah kerana penganut Hindu mengingkari perintah mahkamah untuk memindahkan kuil? Atau adakah itu serangan bermotifkan perkauman?

Berdasarkan laporan dan keterangan saksi mata, kumpulan seramai antara 50 hingga 150 orang bersenjata kayu, batang besi dan parang menyerbu kawasan kuil pada pukul 2.15 pagi.

Pada masa itu, ada lebih kurang 100 penganut Hindu di kuil berkenaan. Mereka mengawalnya sejak Jumaat lalu untuk membantah perintah pindah oleh mahkamah.

Penyerang itu dikatakan menahan beberapa individu sebagai tebusan, memukul mereka yang bersembahyang dan memusnahkan sebahagian kuil. Mereka didakwa menghina kuil dengan telanjang di depan dewa bagi penganut Hindu.

Penganut Hindu, yang disokong pertubuhan masyarakat, menuduh pemaju yang memiliki tanah itu menghantar penyerang berkenaan.

Pemaju terlibat, One City Development Sdn Bhd, bagaimanapun berkata ia tidak terlibat dan menyifatkan tuduhan terhadap mereka berniat jahat.

Polis juga tidak membantu menjelaskan kesamaran. Polis Subang Jaya yang mula-mula mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian. Menurut mereka, apa yang berlaku ialah pergaduhan antara dua kumpulan India berhubung pemindahan kuil yang sepatutnya berlaku pada 22 November lalu.

Sebelum itu sudah ada dakwaan polis lambat bertindak selepas mereka yang terlibat membuat panggilan kecemasan. Menurut saksi, polis hanya datang 90 minit kemudian.

“Polis yang mula-mula sampai di tempat kejadian sibuk menjaga trafik ketika penyerang masih berkeliaran,” kata seorang penganut Hindu kepada The Malaysian Insight.

Seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah kelihatan di dalam kereta peronda polis dibawa keluar dari Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25 di Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 November, 2018.

Ketika berita serangan itu tersebar, bermacam-macam teori timbul: Bagaimana kalau ini serangan kaum yang terancang, tanya kaum India di media sosial. Mereka yang datang berkunjung ke kuil itu pun bertanyakan soalan sama.

Di WhatsApp tersebar dakwaan kononnya Umno dan PAS dalang serangan supaya boleh menggembleng Melayu untuk bersama mereka. Kononnya, untuk tunjuk perasaan anti ICERD pada 8 Disember ini.

Tarikh serangan itu juga signifikan. Tarikh itu terpahat dalam ingatan aktivis Hindu sebagai hari mereka turun ke jalan raya dalam rapat umum anjuran Hindraf pada 2007. Tunjuk perasaan itu diadakan membantah tindakan pihak berkuasa memusnahkan kuil dan diskriminasi terhadap kaum India oleh kerajaan BN.

Hari ini, 11 tahun dan sehari kemudian, sebuah lagi kuil diserang namun kali ini di bawah kerajaan yang diundi oleh sebilangan besar aktivis terlibat untuk menggantikan BN.

Maka tidak hairanlah kenapa penganut dan aktivis Hindu marah dengan pemimpin India dalam Pakatan Harapan, yang sesetengahnya mencipta nama menentang tindakan merobohkan kuil semasa pentadbiran BN.

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dari PKR ditempelak semasa datang melawat kuil itu untuk memberikan sokongan. Mereka mengejeknya dan berkata, mereka tidak mahu ahli politik mempolitikkan isu.

Pemimpin India Pakatan yang sebelum ini memainkan peranan mencari penyelesaian dalam isu kuil hanya mengeluarkan kenyataan media. Mungkin mereka tidak berani menunjukkan muka.

Namun penganut dan aktivis Hindu yang sama mengalu-alukan pemimpin MIC. Adakah kerana mereka tahu pemimpin PH cenderung memindahkan kuil itu sementara MIC, yang sekarang pembangkang, menentangnya?

Jadi, siapa yang sekarang main politik?

Penyelesaian kepada isu ini sudah dicapai tetapi segelintir orang ada saja muslihatnya.

Ini adalah isu yang jelas tentang pemilikan hartanah. Pemaju berkata mereka tidak akan pernah menggunakan helah begini untuk memindahkan kuil. Penganut Hindu sebaliknya mendakwa hanya pemaju yang boleh mengirimkan samseng seperti itu.

Ketika mereka terus bertekak, pelbagai teori konspirasi tersebar untuk mengelirukan isu dan barangkali memanjangkan keadaan.

Kita sangat berharap polis segera bertindak menyelesaikan siasatan dan mendedahkan penyerang dan dalang mereka.

Setakat ini, media sosial riuh dengan dakwaan penyerang terlibat terdiri daripada anggota dua kumpulan Melayu. Mereka dikatakan dibayar RM300 seorang untuk mengambil alih kuil itu sehingga wakil pemaju dan polis tiba untuk melaksanakan perintah mahkamah.

Sekiranya benar, pemaju itu berbohong hari ini. Hanya polis boleh mengesahkannya.

Tidak sukar untuk polis mengesahkannya kerana mereka sudah menahan tujuh suspek. Lebih kurang 10 kenderaan juga ditinggalkan oleh penyerang, selain sejumlah kad pengenalan mereka.

Makanya, polis mesti bertindak pantas. Lagi lama isu ini berlarutan, ada bahayanya kekacauan yang bermula daripada isu perebutan tanah akan merebak jadi isu perkauman. – 26 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen