Tidak perlu terburu-buru mansuh hukuman mati, kata Nga Kor Ming


Zaim Ibrahim

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, kajian yang lebih menyeluruh perlu dibuat sebelum membuat sebarang keputusan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 November, 2018

PEMANSUHAN hukuman mati perlu dipertimbangkan semula oleh barisan kabinet bagi mencapai satu keputusan yang konkrit sebelum dibawa ke Parlimen, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.

Jelas beliau, perkara tersebut tidak perlu terburu-buru untuk dilaksanakan dan kabinet juga perlu menggunakan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk kajian yang lebih menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan.

Beliau berkata, cadangan itu adalah selaras dengan doktrin pengasingan kuasa dan lebih demokratik kerana melibatkan pelbagai pihak.

“Jawatankuasa khas melibatkan pihak pembangkang dan kerajaan. Melalui jawatankuasa itu, kita boleh dapatkan perbincangan, adakan siri jelajah untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat,” kata beliau kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Ini menunjukkan satu cara yang paling demokratik dan selaras doktrin pengasingan kuasa,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau beranggapan, perbincangan melalui Jawatankuasa Pilihan Khas diperlukan kerana pemansuhan hukuman mati mempunyai pelbagai interpretasi undang-undang.

“Hukuman mati, ia boleh dibahagikan sama ada pemansuhan secara total, hanya mansuhkan hukuman mati mandatori atau kategorikan hukuman mati mengikut jenis kesalahan,” tambahnya.

Jelasnya, kebiasaannya setiap jawatankuasa mempunyai tujuh anggota daripada parti kerajaan dan pembangkang serta boleh melibatkan pakar dalam bidang undang-undang.

Bulan lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata, kerajaan perlu bertindak tegas menghapuskan hukuman itu untuk semua jenis kesalahan. 

Beliau berkata, pemansuhan hukuman itu akan digantikan dengan tempoh penjara minimum 30 tahun apabila pemansuhannya diluluskan Parlimen kelak.

Jelasnya, pada masa ini ada 18 kesalahan jenayah yang membawa hukuman mati mandatori, termasuk kesalahan mengedar dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya. – 26 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen