Jangan harap BN menang di Permatang Pauh, kata PH


Looi Sue-Chern

Najib menyeru kepada pengundi di Permatang Pauh supaya mengundi BN pada PRU akan datang walaupun persepsi akar umbi terhadap parti itu buruk. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Ogos, 2017.

BARISAN Nasional (BN) tidak akan berpeluang untuk memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh. Itu kata pemimpin Pakatan Harapan (PH), menolak seruan Perdana Menteri Najib Razak kepada pengundi di Permatang Pauh supaya mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Tegas mereka, memang sebelum ini Umno menguasai kerusi itu, tetapi ianya hanya disebabkan calon yang mereka letakkan ketika itu adalah Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam (DAP) Steven Sim berkata Umno ketika itu hanya semata-mata bergantung kepada Anwar untuk mengekalkan Permatang Pauh. Sim memberi komen kepada seruan Najib kepada pengundi Permatang Pauh semalam supaya membuat pusingan-U dan kembali menyokong BN pada pilihan raya akan datang.

Najib memberitahu pengundi, selepas kerusi itu dirampas pembangkang, “masa seolah-olah telah terhenti”.

Dia juga memberitahu mereka supaya jangan berharap kepada pembaharuan oleh pembangkang memandangkan sekarang mereka melantik bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi PH.

Takhta PKR

Anwar merupakan ahli Parlimen Permatang Pauh dari 1982 hingga 1999 ketika masih bersama Umno. Pada 1998, dia disingkirkan dari jawatan timbalan perdana menteri. Anwar kembali menjadi ahli Parlimen pada 2008 hingga 2015 sehinggalah dipenjarakan semula buat kali kedua.

Di antara 1999 dan 2008, dan 2015 hingga ke hari ini, kerusi Permatang Pauh dipegang isterinya, Presiden PKR dan PH Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Memandangkan kawasan parlimennya berjiran dengan Permatang Pauh, Sim sangat arif kepada sentimen akar umbi dan berkata Najib telah memberikan “laporan yang tidak tepat” semasa di Permatang Pauh semalam.

“Ketua bahagian Umno di sini sendiri pun tak berani berjumpa akar umbi dengan memakai baju-T Umno semasa Hari Raya.

“Mereka sangat maklum persepsi akar umbi kepada Umno sangat buruk,” kata Sim ketika membuat lawatan ke Sungai Lembu di Penanti, Permatang Pauh awal hari ini.

Kilang haram tak jejaskan sokongan

Kata Sim, BN jangan fikir kilang haram yang memproses penapis karbon di Sungai Lembu itu akan menjejaskan sokongan kepada PH dan kerajaan Pulau Pinang.

Hubungan baik di antara kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat dengan penduduk di Sungai Lembu serta jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) masih baik, katanya.

“Penduduk Sungai Lembu dan pemimpin tempatan mereka masih mempunyai hubungan yang baik dengan PH dan pentadbiran kerajaan negeri. Kami tak akan membiarkan pembangkang (BN) mengambil kesempatan terhadap isu ini kerana ia boleh diselesaikan. Pemimpin tempatan juga bersetuju.”

BN telah menggunakan isu ini untuk membuat serangan terhadap kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP, disebabkan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kilang haram itu.

Phee telah menulis surat di atas kapasitinya sebagai exco alam sekitar, meminta supaya tindakan penguatkuasaan terhadap kilang itu ditangguh pada 2015 dan 2016.

Pemimpin DAP, termasuk Lim Kit Siang (tengah), bertemu penduduk tempatan di Kampung Sungai Lembu di Permatang Pauh. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Ogos 2017.

Penduduk kampung Sungai Lembu yang kebanyakannya adalah Cina telah membuat aduan bahawa kilang itu mencemarkan kawasan itu sejak 2008.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong yang juga pengarah pendidikan politik DAP berkata, Najib juga harus ingat yang PKR berjaya mengekalkan kerusi Permatang Pauh dalam empat pilihan raya umum dan dua pihan raya kecil dari 1999 hingga 2015. 

Katanya, pada 2004 satu-satunya kerusi PKR dalam Parlimen adalah Permatang Pauh.

“Permatang Pauh adalah pusat kepada reformasi. PM dah lupa?”

Penduduk tidak gembira dengan Umno

Liew juga mengingatkan Umno bahawa ia mempunyai 50 kerusi parlimen yang dimenangi dengan sokongan kecil pada PRU13.

“Mereka menang kerusi-kerusi itu di bawah 10% lebihan undi, seperti Tasek Gelugor, Balik Pulau dan Kepala Batas di Pulau Pinang.

“Sebagaimana yang disebut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sebelum ini, PH hanya memerlukan 10% lagi undi Melayu dan 5% lagi undi bukan Melayu untuk memenangi kerusi majoriti di Semenanjung Malaysia pada pilihan raya akan datang.

“Perdana menteri harus berfikir dengan teliti dengan apa yang dia lakukan.”

Lim yang juga ada bersama berkata, ramai orang - termasuk berjuta ahli Umno dan penjawat awam - tidak gembira dengan Najib, lebih teruk berbanding perdana menteri lain.

Lim juga menyelar Najib kerana gagal mengutuk keganasan yang berlaku di forum “Nothing to Hide 2.0” di Shah Alam dan tindakan yang tidak menghormati Dr Mahathir pada Ahad lepas.

“Apa yang paling mengejutkan ialah Najib tidak tampil mengutuk kejadian itu. Selama lima hari dia berdiam diri, tetapi boleh membuat lawak tentang kerusi terbang semasa melawat Permatang Pauh semalam.

“Lawatan Najib ke Permatang Pauh 100% sebab politik. Ia mengingatkan saya kepada lawatan Najib ke majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina Pulau Pinang pada Februari 2013, di mana dia memperkenalkan bintang pop Korea Selatan, Psy yang terkenal dengan Oppa Gangnam Style.

“Najib menyoal kepada hadirin sebanyak tiga kali: “Are you ready for BN? (Anda sudah bersedia dengan BN?)”. Hadirin di padang Kolej Han Ching itu menjerit “No (tidak),” katanya.

Kejadian itu dirakamkan ke dalam video dan menjadi viral di seluruh Malaysia menjelang pilihan raya umum ke-13.  – 18 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen