Najib minta rakyat Permatang Pauh buat pusingan-U


Looi Sue-Chern

Perdana Menteri Najib Razak ketika berucap pada majlis 'Kenduri Rakyat' yang diadakan di Politeknik Seberang Prai, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Ogos, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak hari ini meminta rakyat di Permatang Pauh untuk membuat pusingan-U dan kembali menyokong Barisan Nasional.

Najib ketika melawat Permatan Pauh yang menjadi kubu kuat PKR sejak 1999 berkata, “masa seolah-olah terhenti” selepas kerusi Parlimen itu jatuh kepada pembangkang.

“Pikiaq baik-baik (fikir baik-baik),” katanya dalam loghat Utara.

“Sudah lama sejak Permatang Pauh tidak melihat perubahan. Masa seolah-olah terhenti di sini.

“Tidak banyak perubahan sedangkan kita mahukan esok yang lebih baik.

“Ahli parlimen di sini tidak tahu peranan beliau. Anda tidak nampak mukanya.

“Kita tidak mahukan simbol, tetapi wakil yang dipilih yang bileh berkhidmat kepada kita dengan baik,” katanya ketika berucap pada majlis “Kenduri Rakyat” yang diadakan di Politeknik Seberang Prai.

“Siapa yang akan tewas akhirnya? Anda semua, manakala mereka menang.

“Oleh kerana orang itu sudah buat pusingan-U malah pusingan 360°, anda semua perlu lakukan perkara sama di sini. Kita buka buku baharu di Permatang Pauh,” kata Najib merujuk kepada bekas perdana menteri.  

Permatang Pauh adalah sinonim dengan ketua pembangkang Anwar Ibrahim, yang menjadi simbol reformasi selepas dipecat dan dipenjarakan oleh Dr Mahathir pada 1998.

Anwar yang juga ketua de facto Pakatan Harapan (PH) kini menjalani hukuman penjara lima tahun kerana sabitan kes liwat. Kerusi parlimen beliau sebelum ini disandang isterinya yang merupakan presiden PH dan PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Najib turut menyindir pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad – bekas mentornya- kerana pusingan-U yang dibuat dengan meninggalkan Umno dan menyertai pembangkang termasuk bekas musuhnya Anwar dan ketua DAP Lim Kit Siang.

“Kita perlu ada pendirian. Tidak buat pusingan-U selepas 18 tahun. Dan juga pusingan 360°.

“Tidak perlu disebut namanya. Anda semua tahu siapa beliau. Beliau banyak kali buat pusingan sehingga kerusi pun melayang.”

Najib merujuk kepada insiden kekecohan pada forum Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam Ahad lalu yang menyaksikan kerusi dan suar dibaling ketika Dr Mahathir menjawab soalan.

Pengerusi Umno dan Barisan Nasional itu berkata, perjuangan “reformasi” pembangkang sudah mati.

“Tiada lagi perubahan. Ia bermula untuk menentang seorang lelaki yang digelar diktator, mahafiraun, maha zalim. Dan kini mereka memuji lelaki ini dan jadikan dia sebagai pengerusi. Di mana perubahannya?

“Kita perlu tutup buku ini dan buka yang baharu. Rakyat Permatang Pauh memang celik.”

Beliau turut menyatakan BN mampu membawa kebaikan kepada rakyat di Permatang Pauh dan menjadikan negara ini lebih baik.

Majlis yang dihadiri Najib itu turut dicatatkan ke dalam buku Malaysia Book of Record untuk jumlah orang paling ramai makan duduk bersila atas tikar. Seramai 21,380 orang mengambil bahagian.

Najib turut memuji ketua Umno Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Said kerana menjalankan tugas dengan baik menganjurkan program itu.

Beliau berkata, terdapat kebimbangan jumlah peserta tidak mencapai sasaran 20,000 namun yang hadir adalah diluar jangkaan dengan lebih 21,00 termasuk ahli politik BN, pelajar sekolah, guru dan wakil badan bukan kerajaan.

Antara ahli politik yang hadir adalah ketua PAS Permatang Pauh Omar Hassan yang turut duduk bersama tetamu VIP.

Najib mengakhiri ucapannya dengan mengumumkan peruntukan sebanyak RM45 juta untuk membina Sekolah Menengah Agama Seberang Prai Tengah yang baharu.

Terdahulu pada awal pagi ini, Najib menghadiri mesyuarat tertutup pimpinan Umno dan BN Pulau Pinang yang diadakan di Hotel The Light di Seberang Jaya.

Pimpinan itu memberitahu pemberita Naib mendengar taklimat oleh Umno dan BN Pulau Pinang berhubung isu setempat dan bagaimana mereka akan menggerakkan jentera di lapangan untuk pilihan raya umum akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Bahang Shah Headan Ayoob Hussain Shah berkata Najib memberitahu mereka bahawa khidmat kepada rakyat adalah yang paling utama.

“Katanya duit bukan penyelesaian. Khidmat adalah penyelesaian. Beliau meminta kami bekerja keras dan membantu rakyat.

“Beliau juga berkata semua ahli BN perlu merendah diri dan ikhlas bila bertemu dengan rakyat..bagi menunjukkan kita peduli tentang mereka,” katanya.

Pemimpin Gerakan Oh Tong Keong dan H’ng Chee Wey juga berkata Najib meminta mereka memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Menurut mereka, tiada sebarang perbincangan mengenai kerusi, calon atau kontroversi yang menyelubungi Najib dan pentadbirannya seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Felda.

Najib kini dalam lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang. – 17 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen