Umno akan hadir himpunan bantah ICERD 8 Disember


Asila Jalil

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, kehadiran pada perhimpunan itu bagi menunjukkan penghargaan terhadap komitmen kerajaan untuk tidak meratifikasikan ICERD.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 November, 2018

UMNO akan berikan sokongan terhadap perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember bagi menunjukkan enghargaan kepada kerajaan yang membatalkan ratifikasi konvensyen berkenaan.

Presiden parti Ahmad Zahid Hamidi berkata ahli Umno akan dikerah pada hari berkenaan untuk menyokong perhimpunan itu.

“Pada 8 Disember, menurut rancangan yang dibuat oleh jawatankuasa utama Umno, kami akan memberi sokongan bagi menyatakan terima kasih terhadap komitmen kerajaan untuk tidak meratifikasikan ICERD.

“Bagi menunjukkan penghargaan kami, kami akan datang dalam jumlah yang besar pada perhimpunan itu,” katanya ketika berucap pada pertemuan dengan Umno Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan satu kenyataan menyatakan Putrajaya tidak akan meratifikasikan konvensyen itu dan akan terus mempertahankan perlembagaan persekutuan “yang mengandungi kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua kaum ketika penubuhan negara ini”.

Beliau berkata Umno komited untuk menyertai perhimpunan itu bagi menyatakan terima kasih kepada kerajaan kerana proaktif dalam mengambil langkah berkenaan.

Beliau berkata, individu yang dilantik sebagai menteri perpaduan dan kesejahteraan sosial perlu meletakkan jawatan sekiranya beliau “memecahbelahkan” rakyat daripada “menyatukan” mereka. 

P. Waytha Moorthy merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio berkenaan. Beliau sebelum ini berkata kerajaan persekutuan komited dalam mengesahkan enam konvensyen hak asasi manusia termasuk ICERD, pada suku pertama tahun hadapan. Waytha juga pernah menjadi sebahagian daripada kabinet Najib Razak.

“Saya tidak menyebut nama. Datuk Seri Najib lantik beliau sebagai timbalan menteri namun beliau letak jawatan. Kini beliau menteri perpaduan tetapi menyebabkan perpecahan.

“Kami tidak mahu beliau dipecat. Tetapi jika beliau tidak dapat jalankan tugasnya sebagai menteri perpaduan sebaliknya menyebabkan perpecahan, sila letak jawaan. Itu saja,” kata Zahid.

Sementara itu, berhubung rancangan polis untuk menyoalnya berkenaan kenyataan yang menyinggung perasaan, Zahid berkata beliau tidak takut untuk memberikan kenyataan.

“Timbalan ketua polis negara kata saya individu kesembilan akan dipanggil. Mengapa saya perlu takut? Saya akan berikan keterangan.

“Saya tidak mencabar mereka. Mustahil yang saya sebagai bekas menteri dalam negeri tidak tahu apa yang boleh dan tidak boleh saya katakan,” tambah Zahid.

Semalam, Noor Rashid Ibrahim berkata, Zahid merupakan antara beberapa ahli politik yang akan disoal siasat.

Zahid pada Ahad berkata, Melayu akan bangkit dalam kemarahan sekiranya kerajaan Pakatan Harapan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD). – 24 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen