SELEPAS bertahun-tahun mempertahankan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan hubungannya dengan Jho Low, Najib Razak akhirnya mengaku – satu Malaysia sudah kena bohong dengan ahli perniagaan kontroversi itu.
Dalam wawancara dengan Sinar Harian semalam, Najib berkata, itulah rumusannya kalau melihat apa yang diketahui hari ini, tentang skandal menggemparkan dunia itu.
“Ya, kalau begitu, memang kita (sudah ditipu), itulah kesimpulan kalau kita ambil kira apa yang kita tahu hari ini, itu sebenarnya,” kata Najib, menjawab soalan apakah kerajaan sudah ditipu oleh Jho Low.
Tetapi kata Najib hubungan beliau dengan Jho Low profesional. Beliau misalnya mendakwa tidak tahu gaya hidup ahli perniagaan itu yang suka berpelesiran dan bermewah-mewahan. Katanya, beliau hanya tahu semua itu, kemudian.
Najib, bekas pengerusi 1MDB yang juga bekas Menteri Kewangan, sebaliknya menyalahkan bank pelaburan Goldman Sachs, peguam dan juruaudit kerana tidak melindungi kepentingan Malaysia terkait dengan 1MDB.
“Macam mana saya nak tahu, patut dia beritahu ada sesuatu yang tidak betul,” katanya, dalam wawancara itu.
Bahan ketawa
Kenyataan bekas perdana menteri itu jadi berita hangat semalam. Semua media melaporkannya sebagai berita utama. Sehingga tengah malam tadi, Najib dan Jho Low sohor di Twitter di Malaysia.
Banyak orang di media sosial bagaimanapun memperlekehkan beliau: bagaimana seorang perdana menteri, yang juga menteri kewangan dan pengerusi 1MDB, dan seluruh kerajaannya boleh kena main dengan Jho Low?
Hampir 12 jam selepas media melaporkan wawancara itu – selepas dicemuh dan jadi bahan jenaka di media sosial – Najib membuat penjelasan di Facebook.
Katanya, jangan baca tajuk berita saja tetapi kena faham seluruh isu 1MDB yang kompleks.
Mereka yang mengikuti perkembangan isu 1MDB, kata Najib, tahu Jho Low berpakat dengan pihak International Petroleum Investment Company (IPIC) di Abu Dhabi dan Goldman Sachs untuk beliau menyelewengkan duit 1MDB yang dipindahkan kepada IPIC.
Kebetulan semalam ada laporan, IPIC menyaman Goldman Sachs untuk ganti rugi kerana bersubahat menipu syarikat pelaburan itu. Jho Low juga awal bulan ini dituduh di mahkamah di Amerika Syarikat bersama dua bekas pegawai Goldman Sachs.
Penjelasan Najib di Facebook malam tadi tidak mengubah apa-apa, malah tidak pula menambah atau mengurangkan tanggapan dunia terhadap skandal 1MDB serta sikap beliau dan kerajaannya sebelum ini.
Tidak banyak, sedikit – rakyat menolak beliau dan BN kerana skandal 1MDB, yang tidak boleh dipisahkan dengan Jho Low.
Baru saja Jun lepas, Najib sendiri mendedahkan Jho Low “diberi peranan” dalam urusan 1MDB kerana beliau ada hubungan strategik dengan beberapa pihak di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
Tetapi dengan “apa yang kita tahu hari ini”, kata Najib, Jho Low boleh disimpulkan sebagai penipu. Dulu kata begitu, sekarang kata begini.
“Apa yang kita tahu hari ini” itu barangkali terpakai hanya pada Najib dan juak-juaknya. Banyak orang sudah tahu lama dulu, bahawa ada yang tidak kena dengan 1MDB dan Jho Low, dan segala urusan syarikat pelaburan itu dengan pihak luar.
Tetapi Najib – bekas perdana menteri, bekas menteri kewangan dan bekas pengerusi 1MDB – dulu buat apa?
Media yang melaporkan mengenai “apa yang kita tahu hari ini” itu pernah dicap kononnya memalukan kewartawanan. Ahli politik yang bertanya mengenainya dituduh macam-macam. Ada yang disaman di mahkamah. Ada yang dipecat daripada kerajaan. Macam-macam, termasuk Parlimen tidak boleh membincangkan hal 1MDB.
Apabila Barisan Nasional kalah pilihan raya 9 Mei – sesuatu yang Najib akui, tidak beliau duga – semuanya terungkai dan terbongkar. Siasatan yang dihentikan, dibuka semula. Banyak yang kita tidak tahu sebelum ini, sudah kita tahu sekarang.
Malah Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman semalam ikut tumpang sekaki mendedahkan bagaimana beliau pun pernah beri amaran tentang Jho Low kepada Najib. Katanya, beliau sudah lama dulu lagi curiga akan Jho Low.
Apakah maknanya semua ini?
Semua ini barangkali tidak ubah seperti lawak jenaka, enam bulan selepas kerajaan bertukar – atau silap mata yang tidak menjadi, yang sebaliknya bertukar jadi komedi.
Kalau kita menapak tilas seluruh naratif Najib tentang 1MDB dan tentang duit yang masuk ke akaunnya – dari awal sampai sekarang – kita akan melihat naratifnya yang berubah-ubah. Dahulu kata begitu, sekarang kata begini.
Dalam wawancara yang sama, Najib yakin beliau akan membersihkan namanya atas semua pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah.
“Berani kerana benar,” katanya, dan meminta kerajaan berlaku adil pada beliau.
“Seorang itu tidak bersalah sehingga terbukti kesalahannya. Kita tak mahu ambil keadaan sesuatu itu berdasarkan pada court of public opinion (tanggapan umum).
“Pokoknya kita mesti beri peluang yang adil termasuk pada diri saya untuk membuktikan kebenaran,” katanya.
Keadilan untuk Najib ialah di mahkamah, bukannya melalui wawancara seperti semalam atau kenyataan yang beliau keluarkan hampir setiap hari di Facebook.
Sekarang, Najib lebih kerap dan ligat membuat penjelasan tentang itu dan ini, termasuk tentang 1MDB berbanding semasa beliau jadi perdana menteri dulu.
Keadilan untuk Najib ialah dengan bekas perdana menteri itu menunggu perbicaraan ke atasnya nanti.
Najib tidak boleh menyalahkan tanggapan umum terhadapnya sehingga kononnya sukar mendapat keadilan di mahkamah. Namanya memang sudah tercemar dengan liputan luas media antarabangsa. Tiada apa yang akan mengubahnya, sekarang.
Najib lebih tahu apa yang beliau patut buat, kalau beliau mahukan keadilan untuknya. – 23 November, 2018.
* Azam seorang wartawan dengan The Malaysian Insight. Anda boleh mengikutinya di Twitter . E-mel: [email protected]
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen