NAJIB Razak mengakui Malaysia ditipu oleh jutawan Jho Low yang kini dikehendaki pihak berkuasa atas tuduhan menyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Bekas perdana menteri itu mengakui demikian dengan mengambil kira bukti mengenai penyelewengan oleh ahli perniagaan berkenaan yang muncul waktu ini.
“Kalau begitu, memang itulah kesimpulan kalau kita ambil kira apa yang kita tahu hari ini,” kata Najib dalam satu wawancara bersama seorang pengarang akhbar Sinar Harian hari ini.
Najib juga mempertahankan bahawa hubungannya dengan Low hanyalah secara profesional dan mendakwa tidak tahu menahu mengenai kegiatan jutawan muda itu.
“Hubungan saya dengan beliau hanya sebagai profesional,” kata Najib yang menjelaskan, beliau melihat Jho Low pada awalnya berpotensi membawa pelaburan dari negara timur tengah ke Malaysia.
“Apa dia buat secara peribadi termasuk membeli kapal layar, jet, berparti saya tidak tahu langsung,” katanya.
Beliau turut menegaskan, tindakan perlu diambil ke atas Low atas segala tuduhan salah laku atau pecah amanah.
Najib turut menyalahkan peguam, pengaudit dan juga bank Goldman Sachs yang menurutnya gagal menjalankan tanggungjawab menjaga kepentingan Malaysia dalam skandal itu.
Katanya, pihak berkenaan tidak menjalankan tanggungjawab sebenar untuk menjaga kepentingan Malaysia tetapi perkara itu tidak diketahuinya waktu itu.
“Tanggungjawab bank ini semua adalah menjaga kepentingan Malaysia.
“Jadi kalau ia gagal menjaga kepentingan Malaysia, macam mana saya hendak tahu. Sepatutnya (bank Goldman Sachs) beritahu ada perkara yang tidak betul.
“Dia jelas telah menggagalkan tanggungjawab dia, misalnya Goldman Sachs, itu terbukti,” katanya dalam wawancara dengan Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Abdul Jalil Ali.
Bekas pengarah Asia tenggara Goldman Sachs, Tim Leissner sudahpun mengaku salah mencuri wang 1MDB dan kerajaan Malaysia kini berusaha memperoleh semula wang berkenaan.
Wang berkenaan adalah bayaran yuran sebanyak AS$600 juta (RM2.52 bilion) daripada kerajaan Malaysia untuk tiga jaminan perjanjian bon yang berjumlah AS$6 bilion (RM25 bilion).
Kira-kira separuh daripada nilai bon itu didakwa digunakan untuk menyogok pegawai asing dan menampung kehidupan mewah Low.
Najib yang kini bebas dengan jaminan menghadapi 38 tuduhan jenayah melibatkan 1MDB.
Empat daripadanya adalah tuduhan rasuah mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Sebanyak 21 pertuduhan adalah melibatkan kesalahan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.
Jho Low dan bapanya Low Hock Peng juga didakwa tanpa kehadiran di mahkamah atas tuduhan pengubahan wang ke atas duit yang didakwa dicuri daripada 1MDB. – 22 November, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Z Azmyl · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Rizuan abdul rahman · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Julian Nagelsmann · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Julian Nagelsmann · Ulasan