Ambrin enggan ulas dakwaan laporan 1MDB dipinda


Asila Jalil

Bekas ketua audit negara Ambrin Buang enggan mengesahkan atau menafikan laporan media hari ini yang laporan audit 1MDB dipinda pada 2016 atas arahan Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2018.

BEKAS ketua audit negara Ambrin Buang enggan mengulas dakwaan yang laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipinda pada 2016 atas arahan Najib Razak.

Ketika dihubungi The Malaysian Insight, Ambrin tidak menafikan atau mengesahkan dakwaan tersebut tetapi meminta supaya menunggu sehingga prosiding 1MDB bermula.

“Tunggu sehingga 4 Disember bila saya menghadap PAC,” katanya merujuk kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Hari ini, Utusan melaporkan yang Najib mengarahkan pengeluaran kandungan laporan yang menyebut penglibatannya dan Low Taek Jho dalam dana pelaburan sarat hutang itu.

Akhbar pro pembangkang itu memetik sumber tidak dinamakan yang memberitahu pindaan itu dilakukan atas arahan Najib ketika mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri yang dihadiri Ambrin serta bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad dan bekas ketua setiausaha sulit kanan perdana menteri Shukri Mohd Salleh.

Pada 30 Oktober lepas, Ambrin mengeluarkan kenyataan menafikan wujud pindaan tersebut selepas Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Wong mendakwa laporan 1MDB dipinda.

Ambrin sepatutnya menghadap PAC pada 29 Oktober lalu, tetapi Pengerusi PAC Ronald Kiandee membatalkan sesi tersebut, berkata siasatan PAC terhadap 1MDB telah ditangguh atas nasihat peguam negara yang sudah mendakwa Najib berkaitan skandal 1MDB.

Utusan, bagaimanapun hari ini melaporkan yang PAC akan menyambung siasatan selepas menerima nasihat peguam negara, sesi dijadualkan akan disambung pada 4,5 dan 6 Disember depan.

Sementara itu, Ali Hamsa juga berkata tidak mengetahui tentang pindaan laporan tersebut.

“Saya tak tahu apa-apa mengenainya, terima kasih,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Laporan audit 1MDB yang dibuat Jabatan Audit Negara itu diberikan kepada PAC dalam siasatan dana pelaburan itu, yang mendapati Najib terlibat dalam skandal itu.

Ia pada mulanya diberikan status rahsia negara menurut Akta Rahsia Rasmi (OSA), tetapi status itu dibatalkan selepas perubahan kerajaan Mei lalu. – 23 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen