LAPORAN Jabatan Audit Negara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2016 dipinda atas arahan Najib Razak, lapor Utusan yang memetik sumber tindak dinamakan.
Akhbar itu melaporkan yang Najib mengarahkan pengeluaran bahagian laporan yang menyatakan penglibatannya dan ahli perniagaan Low Taek Jho dalam dana pelaburan negara itu.
Sumber Utusan memberitahu yang pindaan itu dibuat pada pertemuan diadakan di Jabatan Perdana Menteri yang turut dihadiri ketua audit negara ketika itu, Ambrin Buang.
Turut hadir ialah beberapa pegawai tinggi kerajaan ketika itu termasuklah bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad dan bekas ketua setiausaha sulit kanan perdana menteri Shukri Mohd Salleh
Laporan Utusan ini dikeluarkan selepas Ambrin menafikan laporan 1MDB yang ketika itu diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) telah dipinda.
Ambrin mengeluarkan kenyataan menafikan wujud pindaan tersebut pada 30 Oktober lepas selepas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Wong mengatakan laporan 1MDB itu dipinda.
Status OSA laporan tersebut dibatalkan selepas Pakatan Harapan merampas Putrajaya selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Utusan melaporkan, Ketua Audit Negara sekarang, Dr Madinah Mohamad sudah membentangkan laporan asal 1MDB kepada barisan PAC yang baru dan akan membentangkan laporan itu kepada Kabinet tidak lama nanti.
Ambrin sepatutnya menghadap PAC pada 29 Oktober lalu, tetapi Pengerusi PAC Ronald Kiandee membatalkan sesi tersebut, berkata siasatan PAC terhadap 1MDB telah ditangguh atas nasihat peguam negara yang sudah mendakwa Najib berkaitan skandal 1MDB.
Utusan, bagaimanapun hari ini melaporkan yang PAC akan menyambung siasatan selepas menerima nasihat peguam negara, sesi dijadualkan akan disambung pada 4,5 dan 6 Disember depan. – 23 November, 2018.
Komen