Perkasa masih pertimbang sertai demo 8 Disember


Zaim Ibrahim

Presiden Perkasa Ibrahim Ali ditemui media selepas mengadakan himpunan membantah ICERD di Masjid Ara Damansara, Petaling Jaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 November, 2018.

PERTUBUHAN Pribumi Perkasa (Perkasa) masih mempertimbangkan sama ada menyertai perhimpunan bersama PAS dan Umno pada 8 Disember untuk membantah rancangan meratifikasi ICERD.

Presidennya, Ibrahim Ali berkata perlu mempertimbangkan penyertaan pertubuhan itu kerana tidak mahu terlibat dengan agenda politik parti tertentu.

“Saya tak mahu ada unsur politik. Tidak mahu ada  bendera PAS atau Umno. Apabila ada bendera politik, akan besarkan nama parti dan bawa agenda masing-masing,” kata beliau.

Perhimpunan yang dirancang diadakan pada 8 Disember itu meraih kontroversi apabila presiden Umno Zahid Hamidi mengancam untuk menggembleng orang Melayu untuk “mengamuk”.

Bekas timbalan perdana menteri itu dilaporkan akan disiasat polis atas ucapannya itu.

Mengulas lanjut, Ibrahim turut menyatakan perhargaan kepada kerajaan kerana menegaskan untuk tidak meratifikasi ICERD.

Bagaimanapun beliau bimbang sekiranya usaha untuk meratifikasi konvensyen tersebut akan dibangkitkan semula oleh pentadbiran kerajaan seterusnya.

“Keputusan kerajaan tepat dan kena pada masanya. Hari ini kerajaan tolak, tetapi kita tidak jamin dua hingga lima tahun akan datang timbul balik isu di bawah kerajaan waktu itu.

“Kita ucap syukur tapi rakyat Malaysia kena ambil tahu dan menghayati kenapa ICERD ini kita tolak,” jelasnya.

Sebahagian ahli Perkasa yang mengadakan bantahan ICERD di ICERD di Masjid Ara Damansara, Petaling Jaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 November, 2018.

Beliau mengulas pengumuman kerajaan untuk tidak akan meratifikasi ICERD serta akan terus mempertahankan kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Ibrahim berkata, walaupun ICERD nampak baik segi akademik, ia tidak bersesuaian dengan Malaysia malah turut ditolak beberapa negara Islam.

“Ada negara Islam sudahpun menandatangani ICERD tapi negara Islam lain beza dengan sejarah negara kita. 

“Negara Islam lain ada negara beraja, rakyatnya 100% islam, kaumnya satu kaum kalau ada kaum lain pun 2% atau 3% sahaja tapi kita ini masyarakat majmuk,” katanya.

Terdahulu Ibrahim memimpin seramai kira-kira 50 orang penyokong yang berhimpun di Masjid Ara Damansara di Petaling Jaya. – 23 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen