Tak perlu mohon maaf kes tanda jalan bahasa Cina, kata MB


Zaim Ibrahim

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata keputusan itu dibuat oleh Majlis Bandaraya Shah Alam pada 2017 dan bukan oleh kerajaan negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 21 November, 2018.

Kerajaan Selangor tidak perlu memohon maaf kepada Sultan Selangor atas pemasangan papan tanda nama jalan dengan bahasa Cina di Shah Alam, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Katanya, beliau juga sudah mengarahkan Exco Kerajaan Tempatan Ng Sze Han untuk mengkaji semula dasar berhubung penggunaan bahasa di papan tanda nama jalan itu.

Tambahnya, masalah itu mungkin timbul disebab dasar mengenai papan tanda yang kurang jelas di peringkat kerajaan tempatan.

“Kita turut perintah Sultan Selangor, jadi saya kira tidak timbul isu minta maaf. Saya sudah arahkan exco kerajaan tempatan untuk membuat kajian pelaksanaan polisi papan tanda seragam dan jelas supaya tiada kelompangan,” tambah beliau.

Jelasnya, keputusan menggunakan bahasa Cina pada papan tanda nama jalan itu dibuat oleh Majlis Bandaraya Shah Alam pada 2017 dan bukan oleh kerajaan negeri.

“Saya dah semak dan ia (isu papan tanda nama nama jalan) tidak pernah dibawa ke MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri). Keputusan itu bukan kerajaan negeri tetapi ia cadangan dalam mesyuarat kerajaan tempatan. 

“Cadangan itu dibawa dan dianggap sebagai satu polisi seterusnya dilaksanakan di kawasan komuniti Cina,” jelas beliau.

Tegasnya, kerajaan negeri Selangor komited dalam membela bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Amirudin bercakap kepada media selepas Majlis Pecah Tanah1 Blok Pangsapuri Kos Sederhana di Gombak, hari ini.

Beliau mengulas tuntutan pembangkang Selangor menuntut agar exco kerajaan negeri memohon maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin kerana atas kelulusan papan tanda berkenaan.

Ketua pembangkang Selangor Rizam Ismail berkata exco berkenaan perlu menjelaskan kes itu kerana ia melibatkan isu sensitif, lapor Sinar Harian.

Isnin lalu, Sultan Sharafuddin menitahkan agar papan tanda dengan tulisan Cina diturunkan dan diganti dengan papan tanda bahasa Melayu, sebelum ulang tahun keputeraannya yang ke-73, bulan depan.

Beberapa papan tanda nama jalan di Shah Alam dengan tulisan Cina itu, antaranya Jalan Balai Raya C tular di media sosial sejak minggu lalu. – 21 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen