PEMBANGKANG Selangor menuntut exco kerajaan negeri memohon maaf kerana meluluskan penggunaan bahasa Cina di papan tanda nama jalan di negeri tersebut.
Ketua pembangkang Selangor Rizam Ismail berkata exco berkenaan perlu menjelaskan kes itu kerana ia melibatkan isu sensitif, lapor Sinar Harian.
“Pihak terlibat perlu beri penjelasan mengapa kerajaan negeri boleh terlepas pandang isu-isu sensitif sebegini sedangkan Selangor bukanlah kerajaan baharu, malah mereka telah memimpin sejak tiga penggal lalu,” katanya.
Laporan itu juga memetik kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad yang meminta semua pihak akur dengan titah Sultan Selangor untuk menurukan papan tanda nama jalan dengan tulisan Cina.
“Adalah rasional apabila nama jalan ini dikekalkan dengan tulisan Bahasa Melayu bagi memudahkan rakyat membacanya,” jelas beliau.
Beliau mengulas titah Sultan Selangor pada Isnin lalu Sultan Sharafuddin agar papan tanda dengan tulisan Cina diturunkan dan diganti dengan papan tanda bahasa Melayu.
Baginda bertitah agar kerajaan Selangor menurunkan papan tanda itu diturunkan sebelum ulang tahun keputeraannya yang ke-73, bulan depan.
Gambar menunjukkan papan tanda nama jalan di Shah Alam dengan tulisan Cina itu, antaranya Jalan Balai Raya C tular di media sosial sejak minggu lalu. – 21 November, 2018.
Komen