YANG bertelingkah dalam pemilihan PKR sudahpun berlapang dada menerima keputusan yang diperolehi.
Namun, bagi Ketua Unit Teknologi Maklumat (IT) dan Sistem Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Alvin Teoh, beliau kini mahu membersihkan namanya selepas ditangkap atas dakwaan mengubah kandungan tablet yang digunakan dalam pemilihan di Cabang Julau, Sarawak.
Teoh bercadang mahu menyaman Adun Batu Tiga Rodziah Ismail yang membuat laporan polis terhadapnya sehingga ditangkap dan disoal siasat selama empat jam.
“Saya bercadang mahu saman Rodziah atas laporan yang dia buat semasa pemilihan di Julau,” beliau memberitahu The Malaysian Insight dalam satu temubual.
Rodziah bertanding bagi jawatan timbalan ketua Wanita PKR tetapi tewas kepada Adun Sementa Dr Daroyah Alwi.
Kata Teoh, dalam laporan tersebut Rodziah mendakwa beliau mengusik tablet yang digunakan dalam pemilihan Cabang Julau. Rodziah juga mendakwa nampak Teoh memeriksa setiap tablet di pusat pemilihan yang diadakan di Stadium William Mawan di Julau pada jam 2.30 petang, 10 November lepas.
Teoh, 40, ditahan di lapangan terbang Sibu keesokan harinya. Selepas disoal siasat selama hampir empat jam, disiasat di bawah Akta Jenayah Komputer 1977 yang membawa kepada hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Beliau yang terlibat dalam pengendalian pemilihan parti sejak 2014 berkata pada hari pemilihan, beliau sudah memaklumkan kepada Rodziah dan calon timbalan presiden Rafizi Ramli yang beliau sedang melakukan pemeriksaan satu persatu apabila mendapati salah satu daripada tablet-tablet yang digunakan mengandungi aplikasi Prey.
Pemilihan di Cabang Julau berjalan dengan lancar pada hari itu. Selepas setiap ahli mengundi menggunakan tablet, hasilnya terus dihantar secara online kepada server.
“Dengan cara ini, semua pihak yang terlibat boleh lihat,” kata Teoh.
“Tetapi talian Internet di Julau pada hari itu sangat teruk dan pada 10.30 pagi kami putuskan untuk undian dibuat secara offline.”
Menurutnya, semuanya elok sahaja dan pada jam 1 tengah hari, lebih daripada 700 ahli sudah mengundi.
“Tetapi pada jam 2 petang, kami dapati salah satu daripada 14 tablet mengandungi aplikasi Prey. Saya cepat-cepat hubungi perunding keselamatan siber kami dan mereka nasihatkan supaya saya periksa semua tablet yang lain dan padam aplikasi itu.”
Bagaimanapun, Teoh dinasihatkan membiarkan aplikasi itu pada satu tablet untuk diperiksa oleh perunding keselamatan siber.
“Pada kira-kira jam 3 petang, Rodziah datang dan saya tunjuk kepadanya aplikasi Prey itu serta jelaskan apa yang sedang saya buat. Saya juga menjelaskan kepada Rafizi dan calon-calon lain di situ mengenai apa yang sedang berlaku.”

Akhirnya, Teoh dapati tiga tablet masih mengandungi aplikasi Prey manakala pada tiga lagi tablet sudah dibuang. Enam lagi tablet pula datanya telah “dipadam”, katanya.
Menurut Teoh, aplikasi Android itu direka untuk memadam semua data pada peranti sekiranya berlaku kecurian data.
“Tetapi bilangan undi yang hilang hanyalah 19 daripada 1,600 undi,” katanya.
Beliau menambah, walaupun aplikasi Prey tidak boleh mengubah keputusan undian, tetapi ia berpotensi membuatkan keputusan pemilihan dalam keadaan meragukan sekiranya semua data dalam tablet dipadam.
“Ia tak boleh ubah keputusan kerana (keputusan) dihantar terus kepada serve. Sebab itu JPP memutuskan untuk gantung keputusan.”
Kakitangan PKR sepenuh masa itu berkata, penangkapannya bukan sahaja menjejaskan reputasinya tetapi komputer riba miliknya, sebuah iPad, dua buah iPhone, lima pemacu cakera dan sembilan tablet yang digunakan semasa pemilihan di Julau juga dirampas polis Sibu.
“Polis kata mereka tak boleh pulangkan melainkan Rodziah tarik balik laporan,” kata Teoh.
Sebelum pemilihan pada 10 November itu, kontroversi timbul berikutan kenaikan mendadak ahli Cabang Julau daripada 603 kepada 13,549 ahli.
“Akhirnya, walaupun bilangan keahlian naik mendadak, hanya 1,600 ahli yang datang buang undi,” kata Teoh.
Mohamed Azmin Ali dilaporkan menang di Julau dengan kelebihan 5,000 undi. PKR tidak mengeluarkan jumlah undi dalam pemilihan tetapi hanya mengesahkan pemenang bagi jawatan yang dipertandingkan pada kongres parti hujung minggu lepas. – 21 November, 2018.
Komen