Akmal Nasir lantik penyokong lawannya kukuhkan Pemuda PKR


Nabihah Hamid

Ketua sayap Pemuda PKR yang baru Akmal Nasir melantik 15 anggota exco termasuk penyokong lawannya bagi mengukuhkan Angkatan Muda Keadilan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2018

AKMAL Nasir yang terpilih sebagai ketua sayap Pemuda PKR yang baru kelmarin melantik 15 anggota exco termasuk penyokong lawannya bagi mengukuhkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) untuk tiga tahun sehingga 2021.

Beliau melantik naib ketua AMK Kuala Langat, Mohd Afiq Mohd Tuniman sebagai pengarah strategik dan bekas bendahari Pemuda PKR Kelantan, Mohd Khairul Anuar Azhan sebagai timbalan bendahari AMK Pusat.

Kedua-dua mereka diketahui mendukung Dr Afif Bahardin yang kalah tipis kepada Akmal dalam pemilihan ketua sayap AMK, yang keputusannya diumumkan dalam kongres parti hujung minggu lalu.

“Mereka dari kem Afif tetapi kedua-duanya telah memberikan komitmen untuk bekerjasama dengan saya,” kata Akmal kepada The Malaysian Insight.

“Saya doakan mereka dapat menjalankan amanah dengan sebaiknya dan terus mengangkat agenda serta suara anak muda,” tambahnya.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu turut mengesahkan kepada The Malaysian Insight beberapa baki jawatan akan diisi penyokong seorang lagi lawannya Najwan Halimi, dan perkara itu sedang dalam perbincangan.

“Tumpuan seterusnya ialah untuk melengkapkan organisasi bagi memastikan sayap AMK dapat memberi komitmen yang sepenuhnya untuk mengangkat agenda dan perjuangan anak muda,” katanya.

Jawatan-jawatan lantikan lain yang belum diisi ialah Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama, Timbalan Ketua Penerangan, Timbalan Pengarah Komunikasi, Timbalan Pengarah Strategi dan Ketua Skuad iaitu pasukan keselamatan sayap.

Dalam pada itu, Akmal melantik bekas Setiausaha AMK Selangor Syed Badli Shah Syed Osman sebagai salah seorang Naib Ketua AMK lantikan. Syed Badli sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila meletakkan jawatan Setiausaha AMK Selangor kerana mendakwa amalan nepotisme dan kronisme merebak dalam kerajaan negeri Selangor.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari kemudian membidas tindakan yang disifatkannya sebagai “tiada disiplin parti”.

Beliau juga menyifatkan cakap-cakap seperti itu sebagai luahan orang yang kecewa, walaupun tidak menamakan secara langsung individu atau pihak yang beliau maksudkan.

Seorang lagi Naib Ketua AMK yang dilantik ialah Bryan Chua Chun Han, yang kalah pemilihan jawatan exco AMK.

Sementara itu, Ahmad Syukri Che Ab Razab dilantik sebagai Setiausaha dan Simon Ooi Tze Min sebagai Bendahari.

Akmal turut melantik lima ahli exco terdiri daripada Fasyarini Azahari, Muhamad Alif Asyraf Abdull Rahim, Mohd Umry Abdul Khois, Rafain Ahuar dan Shariful Azmir Mustafa.

Bagi lantikan Ketua AMK negeri-negeri, Akmal memberitahu beliau sedang mendapatkan pandangan Ketua-Ketua AMK Cabang di setiap negeri.

Dalam satu kenyataan, Akmal mengumumkan Biro Politik AMK akan bermesyuarat dalam masa dua minggu ini bagi membincangkan hala tuju dan perancangan sayap parti untuk tiga tahun akan datang.

“Isu-isu tumpuan anak muda, penetapan tarikh mesyuarat MPP AMK dan persiapan jentera AMK bagi pilihan raya kecil di DUN Rantau,” katanya. – 20 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen