Pembangkang gesa Waytha minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia


Zaim Ibrahim

Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata walaupun ia rakaman lama dan baru sahaja tular di media sosial, kenyataan itu juga menggambarkan P Waytha Moorthy tidak layak menjadi menteri perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2018.

AHLI Parlimen pembangkang menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana melakukan fitnah dan pembohongan mengenai kerajaan Malaysia.

Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata walaupun ia rakaman lama dan baru sahaja tular di media sosial, kenyataan itu juga menggambarkan beliau tidak layak menjadi menteri perpaduan.

“Beliau buat kenyataan 10 tahun lepas. Walaupun 10 tahun lepas, beliau perlu menarik balik fitnah yang dibuatnya terhadap kerajaan dan meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu sidang media yang turut dihadiri oleh ahli Parlimen PAS dan Umno, di Parlimen, hari ini.

Beliau turut menggesa kerajaan segera menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tanpa sebarang alasan.

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaacob sekali lagi menegaskan, Waytha perlu meletak jawatan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio perpaduan.

“Ada konflik (percanggahan) dalam kenyataannya. Katanya, tiada diskriminasi dalam perlembagaan tetapi masih mahu meneruskan ratifikasi ICERD.

“Kalau tidak ada diskriminasi maka tidak perlu kita menandatangani ICERD. Menteri perpaduan telah memecahbelahkan kaum. Kami berpandangan, Perdana Menteri Dr Mahathir perlu melucutkan jawatannya,” kata beliau lagi.

Sebelum sidang media tersebut, Dewan Rakyat kecoh apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang menyerang Waytha berkenaan isu ICERD.

Mereka turut menjerit-jerit dengan menggelarnya sebagai “rasis”.

Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) dan Noh Omar (BN- Tanjung karang) mendakwa Waytha tidak konsisten dan hipokrit dalam kenyataannya mengenai hak asasi di Malaysia.

“Awak yang kata Malaysia akan ratifikasi ICERD tahun depan,” kata Reezal yang juga bekas timbalan menteri.

Menafikan perkara ini, Waytha berkata beliau hanya menggesa perbincangan untuk meratifikasikan ICERD bermula tahun depan.

Sabtu lepas, dalam satu himpunan di Pasir Salak yang menampilkan beberapa pimpinan PAS dan Umno bergabung, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata orang Melayu sedia mengamuk jika ICERD akan ditandatangani.

Bagaimanapun Dr Mahathir menjelaskan, konvensyen antarabangsa itu sukar dilaksanakan kerana ia melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan, dan memerlukan majoriti dua pertiga anggota Parlimen. – 19 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen