Dewan Rakyat kecoh, pembangkang 'serang' menteri berkaitan ICERD


Waytha Moorthy dikecam hebat dalam dewan oleh pembangkang yang mendakwanya tidak konsisten dan hipokrit dalam isu ICERD. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2018.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy diserang bertubi-tubi dalam Dewan Rakyat hari ini selepas wakil rakyat pembangkang mendesaknya menjelaskan rancangan Malaysia meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Malah Speaker Mohamd Ariff Md Yusof juga gagal mengawal kekecohan yang tercetus apabila wakil rakyat Barisan Nasional mengabaikan arahannya dan menghalang semua cubaan Waytha untuk terus membaca teks ucapannya.

Waytha berkata, buat masa sekarang tiada tempoh masa ditetapkan untuk proses rundingan kerajaan dengan pelbagai pihak berkepentingan tentang ratifikasi ICERD kerana Putrajaya mahu mengambil kira semua kebimbangan rakyat.

Waytha yang juga seorang senator itu berkata, kerajaan “tidak menekankan” usaha rafitifikasi ICERD dan perkara itu hanya timbul sebagai balasan terhadap pelbagai isu yang dibangkitkan dalam Parlimen.

Bagaimanapun, Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) dan Noh Omar (BN- Tanjung karang) bangun mencelah, mendakwa Waytha tidak konsisten dan hipokrit dalam kenyataannya mengenai hak asasi di Malaysia.

“Awak yang kata Malaysia akan ratifikasi ICERD tahun depan,” kata Reezal yang juga bekas timbalan menteri.

Menafikan perkara ini, Waytha berkata beliau hanya menggesa perbincangan untuk meratifikasikan ICERD bermula tahun depan.

Jerit menjerit bermula ketika Reezal bertegas yang Waytha mengeluarkan kenyataan yang Putrajaya akan meratifikasikan konvensyen antarabangsa itu tahun depan, menyebabkan Waytha menjerit balik: “Don’t put words in my mouth!”

Noh Omar dalam Dewan Rakyat hari ini berkata Waytha Moorthy hanya berada dalam dewan kerana pengorbanan orang Melayu dan kontrak sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2018.

Reezal turut mengecam Waytha yang memegang portfolio perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial itu kerana kenyataannya mengenai ICERD bercanggah dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga membangkitkan kenyataan terbaru Dr Mahathir yang dilaporkan berkata ICERD “hampir mustahil” untuk Malaysia.

Reezal turut mempersoalkan mengapa ICERD yang perlu jadi keutamaan sedangkan terdapat konvensyen lain yang boleh ditandatangani dan diratifikasikan negara.

Ahli Parlimen pembangkang lain mula menjerit memberikan sokongan kepada Reezal ketika Waytha cuba untuk menjawab.

Noh kemudiannya membangkitkan video lama Waytha dalam satu wawancara di Belanda ketika menjadi pengerusi Hindraf, yang mendakwa Malaysia yang dikuasai pemerintahan Melayu melakukan diskriminasi terhadap kaum India.

“Mengapa awak cakap benda lain kepada Belanda, menghina Malaysia, menghina Islam, kemudian di sini dalam Dewan awak cakap benda lain, awak nak jadi hero?” jerit Noh.

Dalam nada marah, Noh juga memberitahu Waytha yang beliau selaku kaum India “(hanya) berada dalam Dewan kerana Perkara 8- merujuk kepada peruntukan kesaksamaan dalam Perlembagaan.

“Ini adalah kerana kontrak sosial, pengorbanan yang kami (Melayu) buat, jika tidak awak tak boleh berada dalam Dewan,” jeritnya.

Kenyataan itu kemudiannya mendapat sokongan wakil rakyat Umno dan PAS sebelum seseorang menjerit “rasis! rasis!” yang disahut wakil rakyat lain. Speaker Ariff pada ketika ini menggesa wakil rakyat bertenang dan duduk.

Dalam jeritan dan sahut-sahutan itu, Ariff berulang kali meminta Waytha meneruskan ucapan jawapan ke atas debat belanjawan Jabatan Perdana Menteri. Waytha mematuhi arahan Ariff.

Bagaimanapun, tiada sesiapa yang dapat mendengarnya dengan jelas kerana jeritan ahli Parlimen pembangkang berterusan mengabaikan arahan Ariff supaya bertenang dan diam.

Beberapa orang lagi ahli Parlimen turut bangun mencelah seperti Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) dan Tuan Ibrahim Tuan Man (BN-Kubang Kerian), walaupun mereka tidak didengari kerana kebisingan dalam dewan.

Walaupun arahan Ariff supaya Waytha meneruskan ucapannya, C Sivarraajh (BN- Cameron Highlands) berdiri dan mula mendesak senator itu menjelaskan kenyataan yang dibuatnya terhadap BN ketika menjadi pengerusi Hindraf.

“Awak selalu serang BN kerana rasis. Sekarang awak berkhidmat dengan kerajaan di bawah Dr Mahathir Mohamad yang pernah awak lawan, boleh jelaskan?” kata Sivarraajh.

Ariff kemudian memberitahunya supaya tidak membangkitkan isu tidak berkenaan dan juga memberi amaran kepada wakil rakyat pembangkang lain.

Waytha kemudiannya berkata beliau akan memberikan jawapannya bagi pihak Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan bertulis. – 19 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen