SELEPAS kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), diikuti pula dengan pilihan raya kecil (PRK) pada Ogos, Rantau mungkin menjadi harapan pertama Umno untuk mengubah nasib mereka.
Umno akan dapat mengalih perhatian umum daripada dakwaan rasuah yang membelenggu pemimpin kanannya, dan juga dari isu peralihan pemimpin lain parti itu ke Pakatan Harapan (PH).
Walaupun PKR dan DAP dapat mengekalkan kemenangan dengan mudah di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson, Rantau dijangka lebih sukar buat PH.
Mereka perlu berdepan Mohamad Hasan yang mewakili DUN itu selama empat penggal berturut-turut.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, menang kerusi itu sejak 2004 dan merupakan menteri besar popular di Negeri Sembilan sepanjang tiga penggal pentadbirannya.
Sebelum PRU14 pada 9 Mei lalu, pemimpin berusia 62 tahun itu mengekalkan kerusinya dengan meraih majoriti besar iaitu 79.3% pada 2004, 63.3% (2008) dan 63.8% (2013).
Pada 2004, Mohamad meraih 8,031 undi menewaskan calon PKR, Badrulhisham Shaharin. Jumlah undinya merosot sedikit kepada 7,739 undi ketika menentang Aisah Lamsah pada 2008.
Walaupun terdapat penentangan kuat ke atas Barisan Nasional (BN) pada 2013, Mohamad tetap bernasib baik dan meraih majoriti lebih besar – sebanyak 10,126 undi dengan menewaskan Aisah sekali lagi.
Menang atau kalah?
Tidak seperti kebanyakan kawasan lain, pengundi Rantau tidak berpeluang untuk mengundi kerana calon PKR Dr S Streram tidak dibenarkan memfailkan kertas penamaan untuk PRU14.
Sekali gus, ia memberi kemenangan tanpa bertanding buat Mohamad.
Bagaimanapun, analisis ke atas sokongan pengundi mengikut etnik ke atas tiga gabungan parti terbesar pada PRU14 menunjukkan Mohamad akan menang lagi di kerusi tersebut.
Kemenangan itu dijangka hanya dengan perbezaan kecil, dan tidak mengambil kira statistik sebenar pengundi di Rantau.
Berdasarkan analisis Umno (dengan sokongan data Ilham Center), sokongan Melayu kepada BN pada waktu itu dianggarkan pada tahap 46.3%, PAS (28.14%) dan PH (25.47%).
Sokongan Cina kepada BN pula dianggarkan hanya 2.4% berbanding 92.67% menyokong PH.
Di kalangan pengundi India, 26% dianggarkan memilih BN manakala 62% menyokong PH.

Analisis berkenaan turut menambah 10% sokongan untuk Mohamad berbanding purata nasional, dengan mengambil kira populariti dan pengaruhnya sebagai pemimpin tempatan.
Berdasarkan data PRU14, Rantau mempunyai 52% pengundi Melayu , Cina (19%) dan India (28%).
Satu lagi pertimbangan yang diambil kira adalah jumlah peratusan keluar mengundi memandangkan empat PRK sebelum ini mencatatkan peratusan rendah.
Senario pertama yang mungkin berlaku adalah jumlah pengundi keluar yang rendah seperti dalam PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong yang menunjukkan purata kira-kira 45.6%.
Senario kedua mengambil kira jumlah peratusan mengundi di Port Dickson sebanyak 63% dan yang ketiga menggunakan purata peratusan keluar undi PRU14.
Senario terakhir menggunakan peratusan keluar undi pada PRU13 di Rantau, pada jumlah 87%.

Dalam semua senario di atas, Mohamad dijangka memenangi Rantau sekali lagi walaupun dengan sokongan kecil daripada pengundi bukan Melayu.
PRK Rantau dijangka akan diadakan dalam tempoh dua bulan akan datang dalam suasana politik yang hangat.
Isu yang akan merebut perhatian ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Sentimen ke atas isu ini dijangka berpotensi menarik ramai orang Melayu menyokong BN.
Bagaimanapun sokongan hambar terhadap BN seperti ditunjukkan dalam PRU14 dijangka akan mengurangkan majoriti kemenangan yang mungkin diraih Mohamad.
Dalam setiap senario dengan jumlah keluar mengundi berbeza, jumlah undi yang dijangka diraih Mohamad adalah di bawah 3%.
Bagaimanapun, ia tetap akan membolehkan Umno memberi saingan sengit dan harapan untuk menang dalam PRK pertama sejak 9 Mei.
Dengan kekosongan kerusi Rantau, PH kini menguasai 20 kerusi DUN Negeri Sembilan dan BN tinggal 15 kerusi. – 18 November, 2018.

Komen