Umno kekalkan Mohamad Hasan di Rantau


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi satu kenyataan berkata keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang membatalkan kemenangan Mohamad Hasansememangnya sudah dijangka dan Umno akan mempertahankan kerusi tersebut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 November, 2018.

UMNO akan mengekalkan penyandang kerusi DUN Rantau, Mohamad Hasan dalam pilihan raya kecil (PRK) yang bakal diadakan dalam masa terdekat, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid dalam satu kenyataan berkata keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang membatalkan kemenangan Mohamad sememangnya sudah dijangka dan Umno akan mempertahankan kerusi tersebut.

“Keputusan mahkamah untuk PRK DUN Rantau sudah dijangkakan. Umno akan mencalonkan semula Mohamad Hasan. Jentera BN akan digerakkan sepenuhnya. 

“Biarpun banyak kekangan dan halangan, kerusi Rantau mesti dipertahankan. Demi maruah dan kesinambungan, mari Umno/BN perkasa kesatupaduan,” katanya.

Pada 28 April lepas, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau selepas calon PKR Dr S. Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dalam petisyennya, selain Mohamad selaku responden pertama, Dr Streram turut menamakan pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga.

Mohamad dalam respon selepas keputusan tersebut diumumkan memaklum akan berbincang dengan barisan peguamnya keperluan untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan mahkamah itu.

Sementara itu, wakil SPR berkata badan itu akan mengeluarkan notis kekosongan kerusi DUN Rantau dalam tempoh 30 hari selepas menerima sijil perakuan keputusan pilihan raya yang akan dikeluarkan mahkamah. – 16 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen