AKMAL Nasir perlu tegas membuat keputusan sebagai ketua baharu Pemuda PKR dan pada masa sama pandai mengambil hati kem seterunya, kata penganalisis sosio politik Awang Azman Awang Pawi.
Langkah itu perlu bagi memperbaiki keretakan hubungan di antara kem dalam Pemuda PKR yang timbul akibat pemilihan, kata pensyarah Universiti Malaya itu.
“PKR perlu kena hati-hati dengan musuh utama mereka yang datang dari dalam parti sendiri. Kini, sesama mereka berebut kuasa, ada sikap cemburu dan sifat mahu menonjolkan diri dalam parti.
“Akmal perlu lebih tegas dan menunjukkan pada AMK bahawa dia yang mengawal selain pandai mengambil hati lawannya yang kalah pada pemilihan,” katanya.
Awang Azman juga berkata Akmal perlu bijak melantik orang yang dipercayai bukan sahaja untuk membantunya memperkukuh Pemuda PKR tetapi menyokong padu dari belakang.
“Beliau perlu lantik orang yang dipercayai selain membawa kembali musuh politik dalam parti untuk membina AMK (Pemuda) yang lebih kuat,” katanya.
Akmal sebagai ketua berhak melantik lebih 10 jawatan dalam sayap terseut, antaranya setiausaha agung, bendahari, pengarah strategi dan lima exco.
Tuan punya badan itu sendiri berkata beliau tidak tersinggung walau diejek dan dicemuh penyokong kem lawan ketika diumumkan sebagai ketua baharu sayap Pemuda PKR, Jumaat lalu.

Sebaliknya, beliau akan menumpukan usaha untuk merapatkan kerjasama dengan pemimpin yang tidak sebulu dengannya bagi memastikan Pemuda PKR dapat berfungsi dengan baik.
“Pertama cabaran saya perlu pastikan fokus AMK kepada perjuangan parti yang mana kalau kita betul-betul letakkan suara anak muda (sebagai) asas perjuangan, kita tiada masa antara kita cari kesalahan masing-masing.
“Kita juga kena pastikan organisasi berjalan dengan baik dan pada masa sama kena pastikan kita kedua-dua belah pihak ambil tanggungjawab samada AMK (Pemuda) gagal dan berjaya selepas ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Keretakan hubungan di antara kem dalam Pemuda PKR itu jelas kelihatan apabila penyokong Dr Afif Bahardin yang merupakan lawan Akmal daripada kem Azmin Ali mengejeknya semalam.
Kiraan tidak rasmi menunjukkan ahli Parlimen Johor Bahru itu menang tipis dengan hanya beza kurang 50 undi, menewaskan Dr Afif Bahardin dan juga seorang lagi lawan, Adun Kota Anggerik Najwan Halimi.
Jumlah undi rasmi yang diterima oleh kesemua calon berkenaan bagaimanapun masih dirahsiakan.

Kem Azmin Ali yang mempertaruhkan Afif sebagai ketua memenangi hampir kesemua jawatan lain dalam Pemuda termasuk timbalan ketua, yang dimenangi Hilman Idham, dan dua daripada tiga jawatan naib presiden.
Untuk jawatan exco Pemuda, calon kem Azmin menguasai 17 daripada 20 undian tertinggi.
Dalam pada itu, Nazree Yunus yang menang jawatan naib ketua Pemuda PKR optimis bahawa sayap itu akan kembali bersatu.
“Hilman dan Afif juga telah katakan beri sokongan pada sidang media, saya yakin AMK (Pemuda) akan bersatu dan fokus angkat suara anak muda” katanya.
Di peringkat cabang, pemimpin Pemuda PKR yang ditemui The Malaysian Insight berharap Akmal akan dapat memimpin setanding dengan cara kerja ditunjukkan dari kem Afif dan Hilman.
Ketua Pemuda Kapar Hariz Aizat berkata Akmal perlu bertindak pantas mengikut gerak kerja Pemuda Keadilan Masa Depan yang dipacu Afif bersama Hilman.
“Beliau juga perlu bergerak lebih gagah untuk dilihat lebih hebat mahupun setanding dengan pimpinan sayap pemuda parti komponen lain mahupun parti lawan,” katanya. – 17 November, 2018.
Komen