Ketua baharu AMK diejek penyokong lawan


Nabihah Hamid

Akmal Nasir (tengah) meraikan kemenangan bersama penyokongnya selepas memenangi jawatan Ketua AMK PKR pada Kongres AMK PKR di Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 November, 2018.

AKMAL Nasir diejek oleh sebahagian anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) selepas diumumkan sebagai ketua sayap pemuda PKR yang baharu, mengalahkan pesaingnya, Dr Afif Bahardin.

Penyokong Dr Afif melaungkan ejekan sambil menjerit nama calon mereka yang kalah pemilihan tiga penjuru itu berkali-kali.

Mereka juga menjerit menuntut pemilihan sayap itu diadakan semula. 

Kekecohan itu bagaimanapun hanya berlangsung hampir lima minit dan situasi kembali normal apabila mereka ditenangkan oleh wakil Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP). 

Timbalan Ketua AMK yang baharu, Hilman Idham dalam ucapannya turut meminta para penyokong kedua-dua pihak agar bertenang dan bersatu di bawah satu kepimpinan demi masa depan parti. 

“Dengan ini, di hadapan Dr Afif dan Akmal, ‘Keadilan Masa Depan’ dibubarkan serta-merta,” kata Adun Gombak Setia itu. 

Akmal dalam ucapannya sebagai Ketua AMK buat pertama kali, turut mengajak Dr Afif ke menaiki pentas untuk dihargai.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu mengakhiri ucapannya dengan laungan reformasi dan mengatakan kesungguhannya untuk menyatukan sayap itu di bawah kepimpinan Presiden PKR Anwar Ibrahim. 

“Kita perlu bersatu di bawah satu kepimpinan dan berkhidmat untuk rakyat. Selepas ini matlamat kita adalah menjadikan presiden Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri akan datang,” kata Akmal.

Kongres AMK kemudian ditangguhkan tepat pukul 6.48 petang. 

Berdasarkan undian setakat pukul 2 pagi semalam, Dr Afif ketinggalan lebih 100 undi dan pengiraan disambung semula pagi tadi.

Malah JPP masih mengira undi di ibu pejabat parti di Petaling Jaya sehingga lewat malam ketika Ketika Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali merasmikan kongres sayap itu malam tadi. – 16 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen