Mungkin calon baharu untuk PRK Rantau, kata Anwar


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Keputusan calon PRK Rantau melalui proses melibatkan cabang dan negeri sebelum diputuskan, kata bakal presiden Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 November, 2018.

BAKAL presiden PKR Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan parti itu akan meletakkan calon baharu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Negeri Sembilan.

Anwar berkata, keputusan untuk memilih calon adalah hak pimpinan PKR Negeri Sembilan dan beliau mengambil sikap untuk tidak mengganggu proses tersebut.

“Ya, belum ada muktamad lagi,” kata Anwar kepada pemberita ketika ditanya sama ada PKR akan mengekalkan calon lama atau meletakkan muka baharu di kerusi itu.

“Rantau macam ini, pertama proses dia dari cabang, negeri, biro politik, baru presiden masa itu, perlu lalui prosesnya, sekarang ini saya tidak ambil apa-apa, sikap kerana kita kena buat kajian,” kata Anwar lagi, ketika sidang media selepas Kongres Nasional PKR ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam hari ini.

Anwar, yang juga merupakan ahli Parlimen Port Dickson bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada Naib Presiden PKR Rafizi Ramli akan diletakkan sebagai calon.

PRK Rantau bakal diadakan susulan keputusan Mahkamah Tinggi di Seremban pada Jumaat yang membatalkan kemenangan Mohamad Hasan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Mohamad yang juga timbalan presiden Umno menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas Dr S Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon 28 April lepas kerana tidak memiliki pas calon yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga seorang pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) semula DUN itu kerana mendakwa penyandangnya dipilih secara tidak sah dan terbatal.  

Sejurus selepas itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu akan menjadi calon parti itu dalam PRK Rantau.

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berpendapat Dr Streram merupakan calon paling layak mewakili parti itu Di DUN Rantau.

Akmal berkata Dr Streram perlu diberikan peluang sekali lagi untuk bertanding di DUN berkenaan selepas dinafikan hak untuk bertanding di DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

“Kredit harus diberikan kepada Dr Streram yang sebelum ini dinafikan hak untuk bertanding,” katanya.

Semalam, bekas ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin sudah meminta parti meletakkan calon wanita.

Sementara itu, bekas calon Streram juga meluahkan hasrat bertanding sekali lagi. – 17 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen