APABILA penoreh getah tidak lagi mampu berbelanja ekoran kejatuhan harga komoditi, kesannya melata dan menjejaskan pelbagai peringkat masyarakat seperti yang dapat dilihat di Baling, Kedah.
Peruncit di sini mengeluh kerana tiada pelanggan dan pemandu teksi di kawasan itu juga sukar mendapatkan penumpang kerana penduduk Baling sudah jarang keluar membeli-belah di pekan ini.
Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Daerah Baling, Ismail Taib berkata ini mereka selama ini bergantung kepada orang kampung yang mengusahakan getah dan kelapa sawit.
“Apabila harga getah dan harga sawit turun, orang kampung tak mampu nak ke pekan. Di mana kami nak ada pelanggan?”
“Pendapatan kami kadang-kadang RM20 sehari. Walaupun di sini kurang (perkhidmatan) Grab, kami susah dapat pelanggan,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di pekan di timur Kedah itu.
Harga getah skrap di pasaran komoditi ditutup di paras RM1.84 sekilogram di Semenanjung, RM1.68 di Sarawak, dan RM1.54 di Sabah pada Rabu, paling rendah sejak 2010.
Harga komoditi itu melonjak paling tinggi ke paras di antara RM7 dan RM8 sekilogram dalam tempoh dua tahun, pada 2010 dan 2011.
Ia mula merosot pada 2012 dan seterusnya berlegar di sekitar RM4 sekilogram. Pada Mac 2017, ia jatuh lagi ke paras RM3.30 sekilogram dan terus jatuh pada harga sekitar RM2 sekilogram tahun ini.
Di satu kedai menjual daging beku pula, pengusahanya Muhammad Ariffin Talib, 25, berkata beliau mengesan perniagaannya merosot sejak setahun lepas.
Beliau memerhatikan pelanggannya kini mengurangkan pembelian disebabkan kemerosotan kuasa beli.
“Walaupun barangan mentah tak kena SST, orang susah nak beli. Kadang-kadang, pelanggan beli daging dengan harga RM2, tak sampai 100 gram.
“Kuasa membeli makin teruk. Kita letak harga tinggi, orang tak mampu (kerana) di sini kawasan kampung. Harga rendah, kita susah dapat balik modal,” katanya.
Pemuda itu menjelaskan, harga barangan di kawasan luar bandar itu juga tiada banyak beza dengan harga barangan di ibu negeri, Alor Setar.
Seorang lagi peniaga runcit, Nurfatihah Mohammad Khuzaimi, berpendapat, hasil jualannya merosot hingga 50% sejak awal tahun ini disebabkan kejatuhan kuasa beli pengguna di sini.
Hinggakan, beliau tidak mampu menambah semula stok barangan yang terjual, kata Nurfatihah, 21.
“Dulu selalu tambah kembali dalam sebulan beberapa kali. Tapi sekarang sebulan sekali nak tambah semula pun payah,” jelas beliau.
Penoreh getah yang ditemui The Malaysian Insight seterusnya menjelaskan, mereka tidak mampu berbelanja seperti ketika harga getah tinggi kerana pendapatan mereka kini tidak sampai RM500 sebulan.

Wan Hamid Mat Piah yang ditemui di Kampung Cherok Puteh, sebuah kampung bersebelahan Kampung Memali berkata keadaan itu semakin sukar disebabkan keadaan cuaca tidak menentu.
Dalam keadaan ini, mereka hanya akan dapat menoreh sekitar 14 hingga 20 hari sahaja sebulan, kata Wan Hamid, 69.
“Dalam seminggu lebih kurang kita dapat 60 kg. Sebulan tak sampai RM500 (pendapatan) dengan harga sekarang,”
“Sehari pendapatan kami RM 10 sahaja, kami makan sekadar termampu. Beras pun sekilo RM 25,” kata beliau yang berkongsi hasil dengan tuan kebun.
Untuk bayaran sekitar RM2 bagi setiap kilogram pada harga semasa, penoreh sepertinya hanya akan mendapat separuh daripada itu dan separuh lagi akan diperolehi tuan kebun.
Seorang lagi penoreh getah di kampung itu, Mohamad Nor Manas, 61, berharap kerajaan memberi perhatian kepada nasib penoreh getah yang terumbang-ambing.
“Kami harapkan kerajaan pusat tolonglah lihat-lihatlah penoreh getah, kami bekerja sebagai penoreh tiada sumber kewangan lain. Kami pun toreh hak orang (tanah orang), bukan sendiri,” kata beliau.
Kerajaan tidak mengumumkan sebarang insentif khusus bagi golongan ini dalam pembentangan Belanjawan 2019, yang menimbulkan kritikan pembangkang.
Antaranya, bekas perdana menteri Najib Razak yang menyebut, bantuan kepada golongan penoreh, petani dan nelayan berkenaan sepatutnya dinaikkan bagi menghadapi kenaikan kos sara hidup.
Langkah memberhentikan insentif itu dijangka akan menjejaskan lebih 194,500 pekebun dan penoreh getah dan 450,000 keluarga.
Susulan itu, Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim ketika membahaskan belanjawan itu pada minggu ini berkata kerajaan sepatutnya mempertimbangkan untuk meneruskan bantuan terbabit.
“Saya ingin menarik perhatian dan merayu menteri kewangan untuk mengkaji semula dan meluluskan mungkin jumlah tidak sebesar tahun lalu kerana kebocoran dan ketirisannya banyak,” katanya.
Jelasnya, selain bantuan musim tengkujuh pada pekebun kecil dan penoreh getah, kerajaan sepatutnya salurkan subsidi baja dan insentif pengeluaran padi kepada petani di Semenanjung.
Beliau turut menggesa kerajaan meluluskan subsidi baja untuk pengusaha padi bukit atau huma di Sabah dan Sarawak, insentif bersasar nelayan dan elaun saya hidup nelayan darat.
Katanya, golong berkenaan sebelum ini diperuntukkan elaun sara hidup sebanyak RM12.5 juta, tetapi kini dipotong dalam Belanjawan 2019 ke paras RM3.5 juta sahaja.
Dalam belanjawan itu, kerajaan mengumumkan RM4.4 bilion untuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, termasuk RM3 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.36 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Dalam Bajet 2018, kerajaan Barisan Nasional memperuntukkan RM6.5 bilion dengan RM2.3 bilion untuk bantuan kewangan dan insentif seperti baja dan input pertanian.
Sebanyak RM150 juta juga diperuntukkan khas bagi bantuan bulanan kepada golongan petani untuk tempoh tiga bulan sebelum padi dituai. – 17 November, 2018.
Komen