Afif kejutkan perwakilan, koyak ‘cai’ Rafizi di pentas


Asila Jalil

Inilah yang kita pertahankan sepanjang 9 minggu. Bukan lagi bicara soal idealisme perjuangan. Bukan lagi bicara soal siapa yang buat kerja dan tak buat kerja. Bukan lagi bicara soal siapa layak dan tidak layak, kata bekas timbalan Pemuda PKR Dr Afif Bahardin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 November, 2018.

PERWAKILAN Kongres Pemuda PKR petang tadi terkejut apabila calon ketua Pemuda yang kalah Dr Afif Bahardin mengoyakkan “cai” (kertas senarai calon) Kem Reformasi 20 tahun Rafizi Ramli pada ucapan terakhirnya sebagai timbalan ketua Pemuda PKR.

Beliau juga kelihatan sangat beremosi dan menangis ketika memberikan ucapan terakhir selaku pemimpin tertinggi sayap Pemuda sebelum menyerahkan jawatan timbalan secara rasmi kepada Timbalan Pemuda yang baharu Hilman Idham.

“Inilah yang kita pertahankan sepanjang sembilan minggu. Bukan lagi bicara soal idealisme perjuangan. Bukan lagi bicara soal siapa yang buat kerja dan tak buat kerja. Bukan lagi bicara soal siapa layak dan tidak layak.

“Yang penting kertas ini masuk dan terletak di tepi tablet. Senipis inilah nilai masa depan parti PKR,” katanya sebelum mengoyakkan senarai tersebut.

Afif kalah kepada Ahli Parlimen Johor Bharu Akmal Nasir- salah seorang ahli kem Rafizi- dalam perebutan jawatan ketua Pemuda. Bagaimanapun, jumlah undi akhir diterima Afif dan Akmal masih dirahsiakan.

Menurut sumber dalaman, Akmal menang tipis mengatasi Afif yang juga Adun Seberang Jaya tidak lebih 50 undi.

Kekalahan itu menimbulkan kekecohan apabila Akmal diejek perwakilan selepas keputusan diumumkan.

Afif turut mendesak ahli parti supaya menggesa kepimpinan baharu menyemak semula sistem pemilihan kerana dakwanya wujud kelemahan besar.

“Saya tak mahu bantah keputusan tetapi saya mahu kita menyedari dan mengakui yang terdapat kepincangan dalam sistem kita.

“Ada kepincangan dalam konsep demokrasi yang kita bawakan,” tambahnya.

Afif bagaimanapun, menafikan beliau menangis kerana kalah tetapi terharu dengan semangat setiakawan ditunjukkan penyokongnya, lapor Sinar Harian.

“Iya lah, nama pun perjuangan reformasi ini perjuangan air mata darah. Seperti saya sebut, ia emotionally draining exercise.

“Saya terharu sebenarnya, saya menangis bukan sebab kalah tapi terharu dengan semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh pasukan saya. Sebenarnya mereka yang mula nangis dulu,” katanya.

Sebelum ini, Afif juga dilaporkan mendesak  “perubahan dalaman” parti oleh kepimpinan baharu.

Katanya, pemilihan parti tidak menggambarkan prinsip demokrasi yang dijunjung parti cetusan Reformasi 1998 itu.  

Kongres Pemuda PKR ditangguhkan tepat pukul 6.48 petang tadi. – 16 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen