KETUA Wanita PKR Zuraida Kamarudin mempunyai dua nama wanita sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau untuk dicadangkan kepada kepimpinan parti.
Katanya, sebagai pemimpin Wanita beliau mahu mencadangkan calon sayap itu memandangkan tiada calon Wanita bertanding di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
“Saya kira untuk Rantau memandangkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas tidak ada calon wanita di Negeri Sembilan, maka saya cadangkan calon wanita untuk bertanding,” katanya kepada media selepas hadir di Kongres Tahunan Wanita 2018 di Shah Alam hari ini.
Tambahnya, penting untuk pimpinan parti memilih calon tempatan di DUN Rantau yang dimenangi tanpa bertanding bekas menteri besar Mohamad Hassan sebelum ini.
“Untuk (calon) Negeri Sembilan kita kena ada kelahiran Negeri Sembilan, jadi saya akan cadangan girl Negeri Sembilan. Dan saya ada dua nama,” katanya yang menyerahkan keputusan muktamad pencalonan kepada pimpinan parti.
Bekas calon PKR pada PRU14 untuk kerusi Rantau, Dr Dr Streram Sinnasamy turut meluahkan hasrat untuk bertanding.
Mengulas dakwaan yang Rafizi Ramli bakal jadi calon, Zuraida berkata ia mungkin hanya spekulasi kerana ia masih belum dibincangkan.
“Saya tidak tahu sebab parti tak bincang lagi. Result baru keluar hari ini kan. Saya rasa itu spekulasi sahaja,” katanya lagi.
Mahkamah Tinggi Seremban hari ini memutuskan kemenangan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk kerusi DUN Rantau dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu tidak sah dan terbatal.
Hakim Azimah Omar memutuskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak dengan salah kerana tidak membenarkan calon PKR, Streram memfailkan kertas penamaan untuk pilihan raya di kerusi itu.
Azimah juga mengarahkan pilihan raya kecil diadakan untuk kerusi itu.
Susulan itu, Umno turut mengumumkan yang Mohamad akan kekal jadi calon untuk DUN Rantau.
SPR masih menunggu tempoh bertenang 14 hari tamat untuk pihak terlibat membuat bantahan sebelum memulakan proses pelaksanaan PRK Rantau. – 16 November, 2018.
Komen