Ahli Umno terkejut layak mengundi pemilihan PKR


SM Amin

Penolong Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Kota Raja Muhammad Nur Aiman Abdullah berkata kira-kira sebulan sebelum pemilihan PKR Cabang Subang, beliau menerima mesej suara dari nombor telefon yang tidak dikenali. – Gambar The Malaysian Insight, 16 November, 2018.

SEORANG ahli Umno terkejut dimaklumkan namanya tersenarai dalam daftar ahli PKR di Selangor dan layak mengundi dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Penolong Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Kota Raja Muhammad Nur Aiman Abdullah berkata kira-kira sebulan sebelum pemilihan PKR Cabang Subang, beliau menerima mesej suara dari nombor telefon yang tidak dikenali.

Suara itu mirip calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli, katanya, merayu undi menjelang pemilihan yang berlangsung pada 14 Oktober lalu.

“Beberapa hari sebelum pemilihan, saya dapat sekali lagi mesej yang sama. Bila kali kedua dapat mesej itu, saya sempat rekod untuk suka-suka,” katanya, yang memperdengarkan mesej itu kepada The Malaysian Insight.

Menurut Aiman, tidak lama selepas menerima mesej suara itu, seorang exco Pemuda Umno bahagiannya menghantar pautan semakan status keahlian PKR dalam group Whatsapp, ketika itu bahang pemilihan PKR. 

“Bila semak, saya terkejut sudah jadi ahli PKR dan layak untuk mengundi. Selepas itu baru saya teringat dan faham kenapa saya dapat mesej suara sebelum ini,” katanya.

Mesej yang didengar oleh The Malaysian Insight itu berbunyi: “Anda adalah seorang ahli berdaftar PKR di Subang dan layak mengundi kali ini. Pengundian akan diadakan pada hari Ahad, 14 Oktober jam 9 pagi hingga 5 petang di Dewan MBSA Paya Jaras Seksyen U19 Sungai Buluh. 

“Saya berharap anda hadir untuk mengundi saya. Tekan satu jika anda akan hadir untuk mengundi saya,” kata suara mirip Rafizi itu.

Mesej suara itu itu mirip suara calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli, merayu undi menjelang pemilihan yang berlangsung pada 14 Oktober lalu, kata Penolong Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Kota Raja Muhammad Nur Aiman Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2018.

Rafizi mencabar penyandang timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, Aiman yang sudah lebih 10 tahun jadi ahli Umno menegaskan beliau tidak pernah menyokong atau menyertai parti lain selain Umno.

“Selepas semak (status keahlian PKR) saya maklumkan Ketua Pemuda Umno bahagian saya sebab tidak mahu mereka kata yang bukan-bukan,” tambahnya.

Minggu lalu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata parti itu akan membuat proses pemutihan ahli dan mengemas kini data keahliannya selepas pemilihan selesai.

Proses pemilihan sejak 22 September lalu berakhir hujung minggu lepas, dan keputusannya akan diumumkan pada penghujung Kongres PKR di Shah Alam, esok (Ahad).

Menurut Fahmi, proses pemutihan ahli PKR itu akan dibuat setelah timbul kontroversi peningkatan mendadak jumlah ahlinya antara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan sebelum pengesahan daftar ahli yang layak memilih setakat 26 Jun lalu.

Cabang Julau di Sarawak mencetuskan kontroversi kerana pertambahan ahli paling ramai sehingga 2,000% daripada 635 orang kepada lebih 13,000 orang.

Keahlian PKR meningkat hampir 70% selepas PRU14, dengan 300,000 ahli baharu didaftarkan sehingga 26 Jun lalu dan layak untuk mengundi dalam pemilihan parti itu.

Ahli baharu yang mendaftar itu membentuk lebih kurang 40% suara daripada lebih 800,000 ahli yang layak mengundi.

Selangor dan Sabah adalah dua negeri yang mencatatkan pertambahan ahli yang ramai. Ahli di Selangor bertambah lebih 90,000 sementara di Sabah lebih 52,000. 

Penyokong dan jurukempen bagi kem Azmin dan Rafizi sebelum ini menegaskan pertambahan ahli PKR sejak selepas PRU14 tiada kaitan dengan pemilihan parti. Mereka menyifatkannya “perkara biasa selepas pilihan raya, semua hendak masuk parti yang menang”.

Keputusan pemilihan PKR yang berakhir hujung minggu lalu tertangguh antara lain kerana pertikaian status undi ragu iaitu undi melibatkan “ahli” yang tidak dapat disahkan keahlian mereka. – 16 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen