PKR akan kemas kini senarai ahli selepas pemilihan, kata Fahmi Fadzil


Nabihah Hamid

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata parti itu akan membuat proses pemutihan ahli dan mengemas kini data keahliannya selepas pemilihan parti itu selesai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2018.

PKR akan membuat proses pemutihan ahli dan mengemas kini data keahliannya selepas pemilihan parti itu selesai, kata pengarah komunikasinya Fahmi Fadzil.

Katanya, proses itu akan dibuat setelah timbul kontroversi peningkatan mendadak jumlah ahli menjelang pemilihan terutamanya melibatkan cabang Julau di Sarawak, yang ahlinya bertambah sehingga 2,000% daripada 635 orang kepada lebih 13,617 ahli.

“Senarai akan dikemas kini semula selepas pemilihan. Kita kena ada proses yang jelas. Waktu bantahan (kesahihan ahli) sudah pun berakhir,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Pemilihan PKR dijadual berakhir 11 November ini manakala keputusannya akan disahkan pada kongres parti seminggu kemudian.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata PKR memerlukan masa untuk membersihkan senarai keahliannya, sama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya membersihkan senarai pengundi Malaysia.

“Kalau kita, takkan seminggu hendak pemilihan baru hendak kemas kini. Lagipun, kita ada audit bebas. Selepas pemilihan pihak pimpinan akan lakukan proses kemas kini dari masa ke masa,” katanya.

Fahmi diminta menjelaskan kenyataan media awal hari ini bahawa tiada pelanggaran proses dalam kes pertambahan keahlian cabang Julau dan senarai keahlian itu adalah sah bagi tujuan pemilihan parti yang akan berlangsung Sabtu ini.

Katanya, Biro Politik PKR yang bermesyuarat malam juga membincangkan isu keanggotaan di cabang Julau.

Biro itu dimaklumkan oleh setiausaha agung Saifuddin Nasution bahawa senarai ahli baru hanya dimasukkan ke dalam pangkalan data keanggotaan selepas diluluskan oleh Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Fahmi dalam kenyataan medianya juga memaklumkan tiada sebarang bantahan terhadap permohonan ahli baru khusus bagi cabang Julau, yang pertambahan ahli barunya sudah diambil maklum oleh parti sejak 12 Jun lagi.

Beliau menjelaskan untuk pemilihan parti yang sedang berlangsung, ahli baru yang diterima ialah yang berdaftar setakat 26 Jun 2018.

Sehari sebelum tarikh akhir itu, mesyuarat khas MPP menurunkan kuasa kepada Biro Politik untuk mengesahkan senarai akhir permohonan keanggotaan baharu.

Biro berkenaan mengadakan mesyuarat khas meluluskan senarai akhir ahli baru pada 27 Jun dan menyerahkannya kepada semua cabang untuk semakan dan bantahan.

Tarikh semakan dan bantahan dibuka sehingga 17 Julai 2018, katanya.

“Sehingga tarikh tersebut, ibu pejabat PKR tidak menerima sebarang bantahan dari mana-mana pihak terhadap permohonan keanggotaan baharu di Cabang Julau,” kata Fahmi.

Mengulas mengenai pendaftaran anggota berganda pula, Fahmi berkata pihak Jawatankuasa Pusat Pemilihan (JPP) akan membuat saringan berdasarkan kad pengenalan.

“Semuanya berdasarkan pada kad pengenalan. Pihak JPP akan buat saringan dan menerima satu IC sahaja (untuk proses undi),” katanya.

Keanggotaan cabang Julai kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dikhuatiri ada “undi hantu”.

Satu salinan dokumen yang diterima The Malaysian Insight mendakwa sejumlah 444 kes atau 895 anggota mempunyai dua keahlian. Dokumen itu juga mendakwa daripada 13,062 ahli baru, 13,009 nama didaftarkan sehari selepas pendaftaran akhir iaitu pada 27 Jun.

Maklumat pengundi juga dipercayai diambil daripada data pemilih SPR yang dipakai dalam pilihan raya umum lalu. Selain itu, senarai ahli PKR di Julau dipertikaikan kerana terdapat kira-kira 11,000 ahli didaftarkan di 11 alamat yang sama.

Sementara itu, sumber SPRM memberitahu The Malaysian Insight, kes pertambahan ahli PKR di Julau sedang dalam siasatan agensi itu.

“Kita sudah ke kawasan berkenaan dan bertemu dengan beberapa saksi.

“Kita sudah ambil keterangan mereka termasuk keterangan daripada orang kuat PKR di Julau. Kita sedang siasat,” kata sumber agensi anti rasuah itu. – 8 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen